Thursday, January 13, 2011

A133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 4 PERSEPSI , INGATAN  , PERHATIAN  DALAM MK

Berjumpa lagi kita dalam sesi keempat. Tajuk pembelajaran saya pada kelas minggu ini ialah persepsi, ingatan dan perhatian dalam membuat keputusan. Apakah kaitan ketiga-tiga tajuk ini dalam proses membuat keputusan? Pada mulanya, saya juga tertanya-tanya apakah kaitan ketiga-tiga komponen ini dalam proses membuat keputusan.  Saya tidak nampak kaitan antara ketiga-tiga komponen ini dengan pembelajaran kemahiran membuat keputusan. Akhirnya pada penghujung kelas barulah saya mengetahui bahawa ketiga-tiga komponen ini banyak mempengaruhi kita dalam proses membuat keputusan.

Ketiga-tiga komponen ini ialah "peralatan" yang digunakan dalam proses membuat keputusan. Peralatan di sini bukanlah bermaksud alatan yang digunakan untuk kita membaiki sesuatu seperti yang kita gunakan untuk membaiki kenderaan. Peralatan ini bermaksud sesuatu benda yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar tetapi ianya wujud dalam minda kita.

Perkara pertama yang kita perlu lakukan dalam membuat keputusan ialah mengenalpasti masalah yang wujud. Dalam membuat keputusan, data-data yang datang kepada kita adalah dalam bentuk perkataan. Oleh itu, dalam proses membuat keputusan kita sewajarnya mampu mengenalpasti persamaan atau perbezaan dengan masalah-masalah kita sebelum ini. Selain itu, kita juga perlulah dapat membezakan sebab-sebab berlakunya sesuatu masalah itu dan simptom-simptomnya. Kita juga perlu mempunyai kemahiran untuk memecahkan masalah yang dihadapi kepada komponen-komponen yang lebih kecil. Ini bertujuan untuk memudahkan  kita melihat masalah tersebut dari pelbagai aspek dan perkara yang paling penting sekali dalam proses membuat keputusan ini ialah kita berupaya untuk mengenalpasti masalah mengikut prioriti.

Persepsi? Apa yang kita faham mengenai persepsi. Menurut Stephen Pepper (1967), persepsi ialah satu aktiviti yang dilakukan dalam keadaan sedar yang menghubungkan seseorang dengan keadaan di sekelilingnya. Maknanya, tanggapan kita mengenai keadaan di sekitar kita. Persepsi ini dapat dikatakan juga sebagai bagaimana kita menggunakan minda kita untuk melihat dunia iaitu pandangan kita mengenai dunia dengan menggunakan minda kita. Dalam kuliah ini kami telah menonton satu video yang bertajuk "The Window", video ini menceritakan mengenai sepasang suami isteri yang baru berpindah rumah. Keesokan hari, semasa mereka sedang bersarapan, si isteri ternampak jirannya sedang menjemur pakaian. Dia memberitahu suaminya bahawa jirannya tidak tahu mencuci pakaian dengan menggunakan cara yang betul kerana semua pakaian yang dijemur tidak bersih. Suaminya hanya mendiamkan diri. Setiap hari dia akan memberikan komen yang sama kepada jirannya itu. Setelah sebulan berlalu, pada suatu hari, si isteri memberitahu suaminya bahawa jirannya telah belajar mencuci pakaian dengan betul dan dia ingin mengetahui siapa yang telah mengajar jirannya itu mencuci pakaian dengan cara yang betul. Si suami menjawab, "saya bangun awal pagi ini dan mencuci tingkap rumah kita". Apa yang dapat kita perolehi daripada cerita ini? Pertama, kita tidak boleh melihat sesuatu itu berdasarkan pandangan kasar sahaja. Keduanya, jangan kita membuat pandangan mengenai seseorang mengikut apa yang kita nampak mengenai luarannya. Selain itu, kita juga tidak seharusnya mempunyai perasaan hasad dengki dalam hati kita. Ini mengingatkan saya kepada pengalaman saya. Saya telah dicalonkan untuk menjadi ketua bagi sesuatu aktiviti, namun gara-gara perasaan hasad dengki seseorang, saya tidak dilantik sebagai ketua bagi aktiviti tersebut.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi persepsi. Pertama, orang yang membuat tanggapan. Kita membuat persepsi berdasarkan pengalaman, motivasi, tarikan dan pandangan mengenai sesuatu perkara. Kedua, situasi. Kita akan membuat persepsi berdasarkan masa, situasi di tempat kerja dan keadaan sosial dan yang terakhir ialah sasaran atau target. Komponen dibawah faktor ini ialah sesuatu yang baru, misalnya kita akan tertarik jika perkara yang diperkatakan itu merupakan sesuatu yang masih baru. Kedua, sesuatu yang bergerak. Contohnya, jika kita berada dalam satu majlis, apabila kita ternampak seseorang berjalan, kita lebih tertarik untuk melihat orang itu berbanding dengan tetamu yang sedang duduk. Bunyi juga menarik minat kita untuk membuat persepsi. Misalnya, jika terdapat seseorang terkentut dalam suasana yang sunyi, kita akan melihat kearah orang tersebut dan secara automatik kita akan membuat persepsi mengenai orang tersebut. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya kita mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sesuatu keadaan kerana terdapatnya perbezaan persepsi dalam keadaan tersebut.

Namun, terdapat juga batasan dalam membuat persepsi. Ini kerana pandangan kita boleh mengalami ilusi. Selain itu, ruang lingkup yang terhad dengan ruangan fizikal dan keupayaan berfikir juga mempengaruhi persepsi kita mengenai sesuatu perkara. Kita membuat penafsiran tentang apa yang dipersepsi hanya sekiranya ia berkait dengan pengetahuan dan pengalaman relevan yang ada pada kita. Dalam membuat keputusan juga terdapat "blind spot". Persepsi digunakan dalam melihat sesuatu masalah secara fizikal. Selain itu, persepsi ini juga dilakukan dengan tujuan tertentu dan dicapai dengan menentukan rujukan objektif. Dalam membuat keputusan, sekiranya persepsi kita betul dan tepat, pemahaman kita mengenai masalah juga menjadi betul. Ini membantu kita dalam membuat keputusan yang tepat.

Seterusnya, komponen kedua iaitu ingatan. Terdapat dua bentuk ingatan iaitu ingatan jangka panjang dan ingatan jangka pendek. Peranannya dalam proses membuat keputusan ialah membantu dalam mengenalpasti masalah yang hampir sama dengan masalah yang dihadapi sebelum ini. Oleh itu, masalah yang dihadapi mudah diselesaikan. Fungsi ingatan dalam proses membuat keputusan adalah membantu dalam mengingati maklumat, mengaitkan keadaan dahulu dengan sekarang dan membantu dalam proses pengecaman. Saya selalu menggunakan ingatan dalam menyelesaikan masalah matematik yang gagal dijawab semasa peperiksaan untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah matematik dalam peperiksaan selepas itu.

Komponen terakhir ialah perhatian. Menurut Kahneman(1973), perhatian dapat didefinisikan sebagai penggunaan aktiviti mental dalam keupayaan untuk memproses maklumat. Fungsinya adalah sebagai ejen pemilihan dan ejen pengurusan tugasan. Kita perlu memberi perhatian dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Seperti contoh yang diberikan oleh Dr. Ahmad Zamri, seorang pensyarah bidang kedoktoran memberitahu pelajarnya bahawa terdapat dua perkara penting dalam bidang tersebut iaitu pertama, tidak boleh jijik kepada mayat, lalu dia memasukkan jarinya ke dalam mulut mayat itu dan menjilat jari tersebut. Setelah itu, dia meminta pelajarnya mengikuti tindakannya tadi. Setelah semua pelajarnya mengikut tindakannya, dia memberitahu kepada pelajarnya bahawa perkara kedua yang penting ialah PERHATIAN. Dia memberitahu pelajarnya bahawa dia menggunakan jari hantu semasa masukkan ke dalam mulut mayat tetapi dia menjilat jari telunjuknya. Jadi, ini menunjukkan pentingnya kita memberi perhatian dalam melaksanakan sesuatu perkara agar kita tidak tersilap membuat keputusan.

Kesimpulannya, ketiga-tiga komponen ini memainkan peranan penting dalam membantu kita membuat keputusan. Persepsi menyebabkan ingatan kita dirangsang, ingatan yang dirancang pula akan membuatkan kita menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi. Jadi, ketiga-tiga komponen ini saling berhubung dan membantu kita dalam membuat keputusan.