Tuesday, January 11, 2011

A133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 3 HEURISTIKA DAN BIAS

Ini merupakan pembelajaran ketiga dalam Kemahiran Membuat Keputusan. Apakah yang dimaksudkan dengan heuristika dan bias? Pertama sekali semasa saya mendengar tajuk ini saya rasa amat tertarik kerana ianya satu istilah yang agak menarik dan pelik. Heuristika ialah teknik atau peraturan yang digunakan oleh individu bagi menjawab soalan-soalan seperti, "Apakah kebarangkalian sesuatu peristiwa itu berlaku?" Heuristika juga merupakan pedoman-pedoman am atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian masalah yang betul. Manakala bias ialah kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu.

Heuristika dapat dibahagikan kepada empat iaitu Heuristika Jalan-Jawapan, Heuristika Analogi, Heuristika Representatif  dan Heuristika Ketercapaian.Saya amat tertarik kepada Heuristika Jalan-Jawapan kerana ianya satu kaedah berfikir kearah menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diingini, kemudian barulah kita cari jalan atau cara-cara untuk menyelesaikannya. Maknanya kita mempunyai satu matlamat, apabila kita ingin mencapai matlamat tersebut kita akan mencari jalan untuk memenuhi matlamat kita. Saya ingin membeli sebuah laptop, maka, saya akan mencari jalan bagi membolehkan saya mendapatkan laptop tersebut. Inilah contoh bagi heuristika Jalan-Jawapan.

Manakala Heuristika Analogi merupakan penyelesaian masalah berdasarkan kepada keserupaan masalah dari segi struktur. Selain itu, dalam heuristika analogi ini juga, kita menggunakan penyelesaian masalah lain untuk menyelesaikan masalah baru. Contoh masalah yang serupa ialah memandu kereta buatan Malaysia dan memandu kereta buatan Jepun. Contoh masalah tidak serupa ialah membeli tiket bas dengan membeli tiket perlawanan bola sepak. Pengalaman saya dalam heuristika ini dapat dilihat semasa saya ingin membeli tiket untuk menonton wayang, saya menggunakan pengalaman membeli tiket bas. Pengalaman ini digunakan kerana saya berpendapat tidak terdapat perbezaan dalam membeli tiket wayang dan tiket bas. Rupa-rupanya terdapat perbezaan dalam pembelian kedua-dua tiket ini. Semasa membeli tiket bas, kita tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkannya. Sebaliknya, kita perlu beratur panjang ketika ingin membeli tiket wayang.

Heuristika representatif ialah perwakilan iaitu menggunakan satu peristiwa dengan bentuk prototaip dan sekiranya terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya, maka kita percaya ianya lebih munasabah. Misalnya, sekiranya kita ingin membeli durian, kita akan merasa seulas durian dan sekiranya elok, kita akan berpendapat bahawa semua durian yang dibeli oleh kita adalah elok. Inilah yang dikatakan heuristika representatif.

Heuristika ketercapaian pula merujuk kepada apa yang boleh dicapai oleh minda berdasarkan kepada pengalaman kita. Heuristika ini juga berkait rapat  dengan ingatan jangka panjang. Pada suatu hari, saya pernah terfikir untuk ponteng kelas tetapi apabila saya teringat peristiwa beberapa orang rakan saya yang dirotan di khalayak ramai kerana ditangkap oleh guru disiplin ketika sedang ponteng menyebabkan saya membuat keputusan untuk membatalkan niat saya tersebut. Ini menunjukkan bahawa ingatan kita mengenai sesuatu peristiwa dapat membantu kita dalam membuat keputusan.

Bias. Mungkin kita tidak begitu memahami maksud perkataan ini. Bias ialah berat sebelah iaitu kita membuat keputusan tentang sesuatu dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Kecenderungan ini mengganggu keupayaan kita untuk menjadi objektif dan tidak prejudis terhadap sesuatu atau seseorang. Bias ini wujud daripada heuristika representatif dan ketercapaian. Terdapat beberapa kategori bias iaitu bias terlalu yakin, bias tersangkut, bias kesahan, bias maklumat sedia ada, bias representatif dan peningkatan komitmen. Saya amat tertarik kepada bias terlalu yakin. Bias ini terjadi apabila kita terlalu yakin akan keupayaan diri dalam membuat keputusan. Ramai diantara kita tidak menyedari mengenai kewujudan bias ini semasa kita membuat keputusan dan akibatnya keputusan yang diambil itu menjadi berat sebelah. Seterusnya ialah bias maklumat sedia ada iaitu menggunakan maklumat sedia ada ditangan yang baru dan masih segar dalam diri kita.

Selain itu, Dr.Ahmad juga telah menerangkan mengenai Groupthink iaitu pemikiran berkumpulan. Idea ini dperkenalkan oleh Janis. Untuk mencapai kesepakatan, kita tidak  lagi memikirkan mengenai perkara negatif, asalkan kita dapat mengutarakan idea, dan setia kepada ahli serta mencapai kesepakatan. Definisi yang lengkap bagi Groupthink ialah pemikiran seseorang apabila kecenderungan untuk mencapai persetujuan menjadi keutamaan sehingga mengenepikan penilaian realistik terhadap alternatif penyelesaian yang lain. Contoh yang diberikan oleh Dr.Ahmad agar saya dan rakan-rakan bagi memudahkan kami memahami mengenai groupthink ini ialah kisah mengenai 'Pearl Harbor'. Kisah peperangan dimana Jepun dapat menyerang Amerika Syarikat walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah kuasa besar.  Orang atasan Amerika Syarikat telah memandang remeh mengenai kemampuan Jepun dan mengabaikan perkara yang dianggap mustahil untuk dilakukan oleh pihak Jepun. Ini kerana mereka beranggapan Jepun tidak mempunyai kelengkapan untuk menyerang mereka. Akibatnya,  Amerika Syarikat telah mengalami kekalahan yang teruk semasa diserang oleh pihak Jepun.  Perisikan U.S. telah kehilangan hubungan dengan kapal terbang yang menuju ke  Hawai dan mereka juga gagal untuk menghantar pasukan peninjau udara yang dapat memberikan amaran awal. Akibatnya, U.S telah kehilangan 18 kapal terbang, 170 pesawat dan 3700 nyawa. Ini kerana tiada amaran oleh tentera Jepun.  

 

Saya juga dapat memahami simtoms groupthink iaitu illusi kehebatan diri, rationalisasi secara kolektif, kepercayaan, pandangan stareotaip, direct pressure, self-censorship, ilusi tentang  persetujuan mutlak dan mindguards.  Saya amat tertarik kepada Ilusi kehebatan diri. Ianya adalah seperti situasi dimana US percaya bahawa tenteranya hebat dan Jepun tidak akan menyerang mereka. Satu lagi contoh bagi ilusi ini ialah ramai orang percaya bahawa kapal titanic  tidak akan tenggelam. Tetapi akhirnya kapal tersebut tenggelam apabila melanggar ais di lautan.  Rationalisasi secara kolektif pula ialah kita percaya idea yang dibawa oleh seseorang, kita tidak berfikir secara kritikal, dan kita yakin selama ini dia membuat keputusan yang betul. Seterusnya ialah kepercayaan iaitu terdapat sesetengah ahli mesyuarat tidak bersetuju dengan Kennedy untuk menceroboh negara yang kecil. Kennedy telah ditawan oleh tentera Cuba kerana dia tidak memandang perkara yang dianggapnya tidak penting. Selain itu, pandangan stareotaip iaitu Kennedy menganggap Castro terlalu lemah. Oleh itu, apa-apa keputusan yang hendak dibuat oleh rakyat perlu merujuk kepada Castro. Ini akan menambahkan beban kepada Castro.            

 

 Dr.Ahmad juga memberitahu mengenai tanda-tanda yang wujud sekiranya kita membuat keputusan yang salah. Antaranya ialah kajian alternatif yang tidak lengkap dan tidak bertulis, gagal dalam meneliti risiko alternatif yang diambil, pencarian yang tidak berapa baik, bias semasa memproses maklumat, dan gagal untuk merancang pelan. Saya berharap dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan saya. Belajar untuk membuat keputusan bukanlah sesuatu yang senang dan juga bukanlah sesuatu yang terlalu sukar. Oleh itu, sekiranya kita ingin membuat sesuatu keputusan, kita seharusnya memikirkan kesan-kesan yang terpaksa dihadapi setelah sesuatu keputusan itu diambil sama ada kesan baik ataupun buruk.

 

 


A 133582 NOR AMALIZA MOHD NORDIN PENGENALAN KELAS PERTAMAKU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada semester ini, saya telah mengambil kursus ZZZT 2263 Kemahiran Membuat Keputusan yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zamri bin Mansor. Saya mengambil kursus ini kerana saya berpendapat bahawa tidak semua orang mengetahui bagaimanakah cara mereka membuat keputusan. Setelah mengikuti kursus ini pada sesi pengenalan, saya dapat rasakan bahawa kursus ini amat sesuai untuk para pelajar universiti.

Pada kuliah pertama ini kami telah diberitahu mengenai tugasan yang perlu kami lakukan untuk mendapat markah dalam subjek ini. Kami diberi dua pilihan tugasan, sama ada tugasan 1a ataupun tugasan 1b. Tugasan 1a adalah menulis jurnal mengenai "pengalaman peribadi". Jurnal ini perlu ditulis sebanyak 10 muka surat dan perlu dihantar pada minggu ke tujuh. Bagi tugasan 1b pula, kami dikehendaki menulis jurnal pembelajaran bagi lima minggu kuliah, setiap minggu mengikut tajuk-tajuk yang telah diajar oleh pensyarah pada minggu tersebut. Bilangan muka surat adalah dua muka surat dan jumlah patah perkataan adalah sebanyak seribu hingga ke seribu dua ratus patah perkataan. Aku telah memilih tugasan 1b kerana bagi aku tugasan ini lebih menyenangkan dan memudahkan.

Membuat keputusan. Perkataan ini kelihatan seperti mudah. Sebenarnya dalam membuat keputusan, kita terpaksa menanggung setiap kesan daripada apa yang telah kita putuskan. Sebelum ini saya hanya mengetahui bahawa membuat keputusan adalah satu tindakan yang perlu diambil oleh setiap orang walaupun ianya sukar untuk diputuskan. Membuat keputusan merupakan satu perkara yang amat ditakuti oleh saya kerana ianya amat sukar. Sebenarnya,  "membuat keputusan" adalah satu proses mengenalpasti masalah-masalah dan peluang-peluang yang ada, kemudiannya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tersebut. Contohnya, keputusan kita sama ada untuk menaiki kereta atau motosikal untuk ke tempat kerja adalah berdasarkan kepada beberapa proses mengenalpasti masalah seperti masalah akan terlewat sampai ke tempat kerja disebabkan oleh kesesakan lalu lintas, maka kita akan membuat keputusan berdasarkan pilihan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Menurut Dr. Zamri, terdapat tiga situasi dalam membuat keputusan iaitu situasi mudah, situasi sederhana dan situasi sukar. Membuat keputusan pada situasi mudah tidak memberikan kesan yang besar dalam hidup kita. Contohnya, pemilihan warna pakaian untuk dipakai ke kelas bagi menghadiri kuliah. Setiap orang tidak terkecuali daripada membuat keputusan dalam situasi mudah, begitu juga saya. Pada suatu hari, saya perlu membuat keputusan sama ada ingin makan di restoran atau di kedai mamak sahaja. Setelah memikirkan segala kelebihan dan kekurangan makan di kedua-dua tempat, saya telah membuat keputusan untuk makan di kedai mamak sahaja. Pilihan yang dibuat oleh saya tidak memberikan kesan ke atas kehidupan saya.

Pada kuliah ini juga, kami telah diberitahu mengenai empat aspek yang menyebabkan keputusan yang diambil oleh seseorang itu baik. Pertama, keputusan yang diambil dibuat berdasarkan pengalaman. Kedua, berdasarkan kecekapan, ketiga berdasarkan kepada ketepatan maklumat yang diperoleh dan yang keempat berdasarkan analisa yang betul. Sebagai contohnya ialah, seorang pengurus syarikat yang ingin membuka cawangan baru, akan menggunakan pengalamannya dalam mentadbir syarikat untuk menubuhkan cawangan baru tersebut. Selain itu, beliau juga akan menggunakan kecekapannya dalam mengumpul maklumat dan memastikan maklumat tersebut adalah tepat dan beliau akan menganalisa maklumat yang telah diperoleh tersebut bagi memastikan keputusan yang diambil adalah betul.

Kami juga diberitahu oleh Dr Zamri bahawa kemahiran membuat keputusan dibahagikan kepada dua iaitu programmed dan non-programmed. Keputusan berbentuk programmed melibatkan situasi-situasi yang sering berlaku atau situasi yang terjadi secara berulang-ulang yang akhirnya satu polisi diwujudkan untuknya dan keputusan yang ingin diambil telah ditetapkan. Misalnya, amaran letupan gunung berapi akan mengakibatkan kerajaan menasihati rakyat supaya berjaga-jaga. Manakala, keputusan berbentuk non-programmed pula dibuat sebagai respon kepada situasi-situasi yang unik, sukar dan sebahagian besarnya tidak berstruktur dan mempunyai kesan penting untuk organisasi. Kebanyakkan keputusan berbentuk non-programmed melibatkan perancangan strategik kerana ketidakpastian adalah bagus dan keputusan adalah kompleks.

Satu perbezaan utama antara keputusan berbentuk programmed dan non-programmed adalah berkaitan dengan tahap kepastian dan ketidakpastian dalam membuat keputusan. Terdapat empat elemen penting dalam membuat keputusan iaitu kepastian, risiko, ketidakpastian dan kekaburan. Saya tertarik kepada elemen yang pertama iaitu kepastian. Sudah semestinya kita mahukan kepastian dalam membuat sesuatu keputusan. Namun, tidak semua keputusan yang diambil oleh kita mempunyai elemen ini. Elemen kepastian atau certainty ini bermaksud segala maklumat yang diperlukan oleh pembuat keputusan boleh didapati sepenuhnya. Pengalaman saya dalam membuat keputusan berbentuk ini dapat dilihat semasa saya ingin membeli laptop. Saya mencari segala maklumat mengenai laptop dari semua jenama dan telah memilih satu laptop daripada jenama Acer.

Tentu anda ingin mengetahui mengenai elemen membuat keputusan yang lain. Elemen kedua ialah risiko, atau risk yang bermaksud satu keputusan yang jelas matlamatnya dan penerangan yang sedia ada sangat baik tetapi masa depan dikaitkan dengan alternatif masing-masing. Contohnya, keputusan untuk menambahkan pelaburan dalam saham, matlamat kita untuk mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda dan kita mempunyai penerangan mengenainya, namun masa depan kita terpaksa dipertaruhkan dalam perlaburan saham tersebut. Elemen ketiga pula ialah, ketidakpastian atau uncertainty iaitu pembuat keputusan mengetahui matlamat yang ingin dicapai tetapi maklumat tentang alternatif dan peristiwa masa depan adalah tidak lengkap. Seperti saya, apabila tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti setelah mendapat keputusan SPM, saya tetap mempunyai matlamat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi saya tidak mengetahui apakah alternatif lain yang boleh digunakan untuk memasuki universiti. Maka, saya perlu mencari maklumat mengenai alternatif lain bagi membolehkan saya mencapai matlamat saya. Elemen keempat ialah kekaburan atau ambiguity yang bermaksud matlamat yang ingin dicapai atau masalah yang ingin diselesaikan adalah tidak jelas, alternatif-alternatif adalah sukar untuk didefinisikan dan maklumat mengenai hasil tindak balas adalah tidak bernilai.

Kesimpulannya, daripada kuliah ini barulah saya mengetahui bahawa kita membuat keputusan berdasarkan segala maklumat yang ada pada kita bukannya sekadar membuat keputusan bagi memperoleh penyelesaiannya sahaja. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif mengenai sesuatu masalah bagi membantu kita menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi. Kita juga perlulah mencari alternatif yang benar-benar dapat membantu kita menyelesaikan permasalahan yang sedang kita hadapi. Pada minggu hadapan kita akan mempelajari mengenai model-model yang terdapat di dalam kursus membuat keputusan ini. Model-model ini bukannya bermaksud individu tetapi pendekatan bagi membantu kita menyelesaikan masalah kita. Antara model yang akan kita pelajari ialah Model Klasik, Model Pentadbiran dan Model Politik. Saya semakin tertarik untuk mengikuti kuliah kemahiran membuat keputusan ini walaupun ramai pelajar lain telah menarik diri daripada mengikuti kuliah ini.


salam.ini learning journal saya yang kedua...

A 133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 2 MODEL K2P

Pada sesi kedua ini aku telah diajar mengenai model-model yang terdapat dalam proses membuat keputusan. Antara model yang dipelajari oleh aku ialah model klasik, model pentadbiran dan model politik. Aku amat tertarik kepada model politik kerana model ini banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita sama ada kita menyedarinya ataupun tidak.

Model disini bukanlah bermaksud orang yang dijadikan sebagai rujukan dalam membuat keputusan sebaliknya satu garis panduan yang membantu kita dalam membuat sesuatu keputusan. Antara fungsi model-model ini ialah untuk kita memahami sesuatu perkara dan juga untuk menerangkan sesuatu perkara. Dalam usaha untuk memahami model ini, kita perlulah memahami kerasionalan(rationality), kerasionalan terikat(bounded rationality) dan pendapat Herbert A. Simon.

Model klasik adalah pembuatan keputusan berdasarkan kepada andaian-andaian ekonomi. Selain itu, model ini dianggap sebagai "normatif", yang mambawa maksud bagaimana pembuat keputusan sepatutnya membuat keputusan. Ini bermakna, kita sudah ada satu garis panduan dalam membuat keputusan. Model pentadbiran pula adalah berdasarkan hasil kerja Herbert A. Simon. Beliau telah mencadangkan dua konsep dalam model pentadbiran iaitu kerasionalan terikat(bounded rationality) dan satisficing. Kerasionalan terikat bermaksud seseorang itu mempunyai had-had atau sempadan dalam membuat keputusan, yang bermaksud pembuat keputusan itu terikat dengan pelbagai bentuk rintangan, had dalam memproses maklumat dan juga hanya menggunakan maklumat atau panduan umum dalam membuat keputusan. Pengalaman saya semasa membuat keputusan sebegini dapat dilihat semasa saya memilih subjek untuk diikuti semasa di tingkatan 6, saya hanya membuat keputusan berdasarkan kepada gerak hati saya sahaja tanpa mempunyai maklumat mengenai subjek tersebut serta saya tidak mempunyai masa untuk mencari maklumat mengenai subjek tersebut. Akibatnya, saya telah membuat keputusan yang berat sebelah atau bias kerana hanya memilih subjek kegemaran saya sahaja.

Satisficing pula wujud dalam keadaan dimana kita tidak mempunyai masa atau keupayaan kognitif untuk memproses maklumat yang lengkap tentang sesuatu keputusan yang kompleks. Satisficing ini bermaksud pembuat keputusan akan memilih alternatif penyelesaian yang pertama yang memenuhi kriteria minimum sesuatu keputusan. Misalnya, saya hanya memilih sebuah laptop  tanpa mengambil kira mengenai jenama, kualiti laptop tersebut dan sebagainya hanya disebabkan  kekurangan maklumat dan tidak mempunyai masa untuk membuat penilaian terhadap kesemua jenis laptop yang terdapat di pasaran.

Model yang amat menarik minat saya sepanjang sesi pembelajaran ialah model politik. Model ini seakan-akan menyerupai persekitaran sebenar dimana kebanyakkan pembuatan keputusan beroperasi. Model ini amat berguna dalam membuat keputusan yang tidak dirancang. Kebanyakan pembuat keputusan akan membuat pakatan dengan sesiapa yang mempunyai pendirian yang sama dengan mereka agar matlamat mereka dapat dipenuhi. Kita selalu melihat di dalam berita terdapat sekumpulan pekerja mengadakan mogok dalam usaha membantah atau meminta sesuatu daripada pihak pengurusan. Ini merupakan salah satu contoh dalam model politik iaitu pekerja-pekerja ini akan mengumpulkan sebanyak mungkin orang dalam usaha untuk menjalankan mogok tersebut. Ini bertujuan untuk memastikan matlamat mereka akan dipenuhi oleh pihak pengurusan tempat mereka bekerja.

Dimensi utama bagi ketiga-tiga model ini dapat dilihat dalam jadual di bawah:

Model Klasik

Model Pentadbiran

Model Politik

Masalah dan matlamat jelas.

Masalah dan matlamat yang samar

Majmuk, percanggahan matlamat.

Keadaan yang penuh kepastian.

Keadaan ketidakpastian.

Keadaan yang tidak pasti dan kekaburan.

Maklumat penuh tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Maklumat terhad tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Pendapat tidak konsisten, maklumat adalah kabur.

Pilihan rasional secara individu untuk memaksimumkan hasil.

Pemilihan berdasarkan memadai/ pemuasan untuk mengatasi masalah dengan menggunakan gerak hati.

Rundingan dan perbincangan antara ahli-ahli gabungan.

 

Saya juga amat tertarik kepada model tong sampah. Model ini menerangkan mengenai beberapa persoalan iaitu mengapa jawapan dicari untuk persoalan yang tidak wujud, mengapa keputusan yang diambil tidak membantu dalam menyelesaikan masalah dan mengapa hanya sesetengah persoalan sahaja yang terjawab. Ini mengingatkan saya kapada pengalaman saya dahulu. Saya telah mencari pelbagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun segala alternatif tersebut tidak banyak membantu saya dalam menyelesaikan masalah saya. Setiap keputusan yang diambil semakin menambahkan masalah yang saya hadapi, dan akhirnya saya berhenti daripada terus membuat keputusan yang semakin membebankan saya.

Kita juga perlu mengetahui mengenai langkah-langkah yang di ambil semasa kita membuat keputusan. Terdapat enam langkah dalam proses membuat keputusan yang efektif iaitu pertama mengenalpasti keperluan dalam keputusan, kedua diagnosis dan analisis tentang penyebab dan punca masalah yang dihadapi, ketiga pembuatan alternatif iaitu kita mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya memilih alternatif yang ingin digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Langkah kelima ialah pelaksanaan alternatif yang telah dipilih dan langkah terakhir ialah penilaian dan maklum balas yang diperoleh setelah kesemua langkah ini dilaksanakan. Setiap daripada langkah ini memainkan peranan penting dalam membuat keputusan. Oleh itu, kita perlu mengikuti kesemua langkah ini bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan betul(Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor).In R. L. Daft, New era of management(2ed.).Mason, Ohio: Thomson.

Kesedaran mengenai sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam urutan membuat keputusan dan ianya memerlukan pengawasan persekitaran dalaman dan juga luaran. Mengenal pasti keperluan dalam keputusan adalah sulit kerana ianya sering dikaitkan dengan menyambungkan cebisan-cebisan maklumat dengan cara yang baru dan berbeza (Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor). In R. L. Daft, New era of management(2ed.). Mason, Ohio: Thomson.

 Setelah satu masalah mendapat perhatian, pemahaman mengenai situasi itu perlu diperhalusi. Diagnosis adalah langkah dalam proses membuat keputusan dimana kita menganalisis faktor-faktor penyebab yang tersembunyi yang dikaitkan dengan situasi membuat keputusan. Kita membuat kesilapan sekiranya kita terus pergi ke langkah menjana alternatif-alternatif tanpa meneroka terlebih dahulu punca masalah yang dihadapi dengan lebih mendalam. Kepner dan Tregoe, yang menjalankan kajian secara meluas mengenai pembuatan keputusan oleh seseorang pengurus mencadangkan pengurus terbabit menanyakan beberapa siri soalan bagi menentukan penyebab dan punca-punca tersembunyi bagi sesuatu masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, dalam membuat keputusan ini banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Setiap keputusan yang diambil mempunyai kesan terhadap hidup kita sama ada untuk jangka masa panjang ataupun jangka masa pendek. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dengan segala tindakan kita dalam membuat keputusan. Bak kata pepatah "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna". Jadi kita sewajarnya berfikir banyak kali dan meminta pendapat daripada orang lain dalam membuat sesuatu keputusan. Kita juga perlulah mengikuti enam langkah penyelesaian masalah seperti yang telah saya nyatakan agar kita dapat membuat keputusan dengan lebih efektif.