Saturday, January 29, 2011

A 133582 NOR AMALIZA MOHD NORDIN PENGENALAN KELAS PERTAMAKU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada semester ini, saya telah mengambil kursus ZZZT 2263 Kemahiran Membuat Keputusan yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zamri bin Mansor. Saya mengambil kursus ini kerana saya berpendapat bahawa tidak semua orang mengetahui bagaimanakah cara mereka membuat keputusan. Setelah mengikuti kursus ini pada sesi pengenalan, saya dapat rasakan bahawa kursus ini amat sesuai untuk para pelajar universiti.

Pada kuliah pertama ini kami telah diberitahu mengenai tugasan yang perlu kami lakukan untuk mendapat markah dalam subjek ini. Kami diberi dua pilihan tugasan, sama ada tugasan 1a ataupun tugasan 1b. Tugasan 1a adalah menulis jurnal mengenai "pengalaman peribadi". Jurnal ini perlu ditulis sebanyak 10 muka surat dan perlu dihantar pada minggu ke tujuh. Bagi tugasan 1b pula, kami dikehendaki menulis jurnal pembelajaran bagi lima minggu kuliah, setiap minggu mengikut tajuk-tajuk yang telah diajar oleh pensyarah pada minggu tersebut. Bilangan muka surat adalah dua muka surat dan jumlah patah perkataan adalah sebanyak seribu hingga ke seribu dua ratus patah perkataan. Aku telah memilih tugasan 1b kerana bagi aku tugasan ini lebih menyenangkan dan memudahkan.

Membuat keputusan. Perkataan ini kelihatan seperti mudah. Sebenarnya dalam membuat keputusan, kita terpaksa menanggung setiap kesan daripada apa yang telah kita putuskan. Sebelum ini saya hanya mengetahui bahawa membuat keputusan adalah satu tindakan yang perlu diambil oleh setiap orang walaupun ianya sukar untuk diputuskan. Membuat keputusan merupakan satu perkara yang amat ditakuti oleh saya kerana ianya amat sukar. Sebenarnya,  "membuat keputusan" adalah satu proses mengenalpasti masalah-masalah dan peluang-peluang yang ada, kemudiannya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tersebut. Contohnya, keputusan kita sama ada untuk menaiki kereta atau motosikal untuk ke tempat kerja adalah berdasarkan kepada beberapa proses mengenalpasti masalah seperti masalah akan terlewat sampai ke tempat kerja disebabkan oleh kesesakan lalu lintas, maka kita akan membuat keputusan berdasarkan pilihan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Menurut Dr. Zamri, terdapat tiga situasi dalam membuat keputusan iaitu situasi mudah, situasi sederhana dan situasi sukar. Membuat keputusan pada situasi mudah tidak memberikan kesan yang besar dalam hidup kita. Contohnya, pemilihan warna pakaian untuk dipakai ke kelas bagi menghadiri kuliah. Setiap orang tidak terkecuali daripada membuat keputusan dalam situasi mudah, begitu juga saya. Pada suatu hari, saya perlu membuat keputusan sama ada ingin makan di restoran atau di kedai mamak sahaja. Setelah memikirkan segala kelebihan dan kekurangan makan di kedua-dua tempat, saya telah membuat keputusan untuk makan di kedai mamak sahaja. Pilihan yang dibuat oleh saya tidak memberikan kesan ke atas kehidupan saya.

Pada kuliah ini juga, kami telah diberitahu mengenai empat aspek yang menyebabkan keputusan yang diambil oleh seseorang itu baik. Pertama, keputusan yang diambil dibuat berdasarkan pengalaman. Kedua, berdasarkan kecekapan, ketiga berdasarkan kepada ketepatan maklumat yang diperoleh dan yang keempat berdasarkan analisa yang betul. Sebagai contohnya ialah, seorang pengurus syarikat yang ingin membuka cawangan baru, akan menggunakan pengalamannya dalam mentadbir syarikat untuk menubuhkan cawangan baru tersebut. Selain itu, beliau juga akan menggunakan kecekapannya dalam mengumpul maklumat dan memastikan maklumat tersebut adalah tepat dan beliau akan menganalisa maklumat yang telah diperoleh tersebut bagi memastikan keputusan yang diambil adalah betul.

Kami juga diberitahu oleh Dr Zamri bahawa kemahiran membuat keputusan dibahagikan kepada dua iaitu programmed dan non-programmed. Keputusan berbentuk programmed melibatkan situasi-situasi yang sering berlaku atau situasi yang terjadi secara berulang-ulang yang akhirnya satu polisi diwujudkan untuknya dan keputusan yang ingin diambil telah ditetapkan. Misalnya, amaran letupan gunung berapi akan mengakibatkan kerajaan menasihati rakyat supaya berjaga-jaga. Manakala, keputusan berbentuk non-programmed pula dibuat sebagai respon kepada situasi-situasi yang unik, sukar dan sebahagian besarnya tidak berstruktur dan mempunyai kesan penting untuk organisasi. Kebanyakkan keputusan berbentuk non-programmed melibatkan perancangan strategik kerana ketidakpastian adalah bagus dan keputusan adalah kompleks.

Satu perbezaan utama antara keputusan berbentuk programmed dan non-programmed adalah berkaitan dengan tahap kepastian dan ketidakpastian dalam membuat keputusan. Terdapat empat elemen penting dalam membuat keputusan iaitu kepastian, risiko, ketidakpastian dan kekaburan. Saya tertarik kepada elemen yang pertama iaitu kepastian. Sudah semestinya kita mahukan kepastian dalam membuat sesuatu keputusan. Namun, tidak semua keputusan yang diambil oleh kita mempunyai elemen ini. Elemen kepastian atau certainty ini bermaksud segala maklumat yang diperlukan oleh pembuat keputusan boleh didapati sepenuhnya. Pengalaman saya dalam membuat keputusan berbentuk ini dapat dilihat semasa saya ingin membeli laptop. Saya mencari segala maklumat mengenai laptop dari semua jenama dan telah memilih satu laptop daripada jenama Acer.

Tentu anda ingin mengetahui mengenai elemen membuat keputusan yang lain. Elemen kedua ialah risiko, atau risk yang bermaksud satu keputusan yang jelas matlamatnya dan penerangan yang sedia ada sangat baik tetapi masa depan dikaitkan dengan alternatif masing-masing. Contohnya, keputusan untuk menambahkan pelaburan dalam saham, matlamat kita untuk mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda dan kita mempunyai penerangan mengenainya, namun masa depan kita terpaksa dipertaruhkan dalam perlaburan saham tersebut. Elemen ketiga pula ialah, ketidakpastian atau uncertainty iaitu pembuat keputusan mengetahui matlamat yang ingin dicapai tetapi maklumat tentang alternatif dan peristiwa masa depan adalah tidak lengkap. Seperti saya, apabila tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti setelah mendapat keputusan SPM, saya tetap mempunyai matlamat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi saya tidak mengetahui apakah alternatif lain yang boleh digunakan untuk memasuki universiti. Maka, saya perlu mencari maklumat mengenai alternatif lain bagi membolehkan saya mencapai matlamat saya. Elemen keempat ialah kekaburan atau ambiguity yang bermaksud matlamat yang ingin dicapai atau masalah yang ingin diselesaikan adalah tidak jelas, alternatif-alternatif adalah sukar untuk didefinisikan dan maklumat mengenai hasil tindak balas adalah tidak bernilai.

Kesimpulannya, daripada kuliah ini barulah saya mengetahui bahawa kita membuat keputusan berdasarkan segala maklumat yang ada pada kita bukannya sekadar membuat keputusan bagi memperoleh penyelesaiannya sahaja. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif mengenai sesuatu masalah bagi membantu kita menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi. Kita juga perlulah mencari alternatif yang benar-benar dapat membantu kita menyelesaikan permasalahan yang sedang kita hadapi. Pada minggu hadapan kita akan mempelajari mengenai model-model yang terdapat di dalam kursus membuat keputusan ini. Model-model ini bukannya bermaksud individu tetapi pendekatan bagi membantu kita menyelesaikan masalah kita. Antara model yang akan kita pelajari ialah Model Klasik, Model Pentadbiran dan Model Politik. Saya semakin tertarik untuk mengikuti kuliah kemahiran membuat keputusan ini walaupun ramai pelajar lain telah menarik diri daripada mengikuti kuliah ini.


A 133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 2 MODEL K2P

Pada sesi kedua ini aku telah diajar mengenai model-model yang terdapat dalam proses membuat keputusan. Antara model yang dipelajari oleh aku ialah model klasik, model pentadbiran dan model politik. Aku amat tertarik kepada model politik kerana model ini banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita sama ada kita menyedarinya ataupun tidak.

Model disini bukanlah bermaksud orang yang dijadikan sebagai rujukan dalam membuat keputusan sebaliknya satu garis panduan yang membantu kita dalam membuat sesuatu keputusan. Antara fungsi model-model ini ialah untuk kita memahami sesuatu perkara dan juga untuk menerangkan sesuatu perkara. Dalam usaha untuk memahami model ini, kita perlulah memahami kerasionalan(rationality), kerasionalan terikat(bounded rationality) dan pendapat Herbert A. Simon.

Model klasik adalah pembuatan keputusan berdasarkan kepada andaian-andaian ekonomi. Selain itu, model ini dianggap sebagai "normatif", yang mambawa maksud bagaimana pembuat keputusan sepatutnya membuat keputusan. Ini bermakna, kita sudah ada satu garis panduan dalam membuat keputusan. Model pentadbiran pula adalah berdasarkan hasil kerja Herbert A. Simon. Beliau telah mencadangkan dua konsep dalam model pentadbiran iaitu kerasionalan terikat(bounded rationality) dan satisficing. Kerasionalan terikat bermaksud seseorang itu mempunyai had-had atau sempadan dalam membuat keputusan, yang bermaksud pembuat keputusan itu terikat dengan pelbagai bentuk rintangan, had dalam memproses maklumat dan juga hanya menggunakan maklumat atau panduan umum dalam membuat keputusan. Pengalaman saya semasa membuat keputusan sebegini dapat dilihat semasa saya memilih subjek untuk diikuti semasa di tingkatan 6, saya hanya membuat keputusan berdasarkan kepada gerak hati saya sahaja tanpa mempunyai maklumat mengenai subjek tersebut serta saya tidak mempunyai masa untuk mencari maklumat mengenai subjek tersebut. Akibatnya, saya telah membuat keputusan yang berat sebelah atau bias kerana hanya memilih subjek kegemaran saya sahaja.

Satisficing pula wujud dalam keadaan dimana kita tidak mempunyai masa atau keupayaan kognitif untuk memproses maklumat yang lengkap tentang sesuatu keputusan yang kompleks. Satisficing ini bermaksud pembuat keputusan akan memilih alternatif penyelesaian yang pertama yang memenuhi kriteria minimum sesuatu keputusan. Misalnya, saya hanya memilih sebuah laptop  tanpa mengambil kira mengenai jenama, kualiti laptop tersebut dan sebagainya hanya disebabkan  kekurangan maklumat dan tidak mempunyai masa untuk membuat penilaian terhadap kesemua jenis laptop yang terdapat di pasaran.

Model yang amat menarik minat saya sepanjang sesi pembelajaran ialah model politik. Model ini seakan-akan menyerupai persekitaran sebenar dimana kebanyakkan pembuatan keputusan beroperasi. Model ini amat berguna dalam membuat keputusan yang tidak dirancang. Kebanyakan pembuat keputusan akan membuat pakatan dengan sesiapa yang mempunyai pendirian yang sama dengan mereka agar matlamat mereka dapat dipenuhi. Kita selalu melihat di dalam berita terdapat sekumpulan pekerja mengadakan mogok dalam usaha membantah atau meminta sesuatu daripada pihak pengurusan. Ini merupakan salah satu contoh dalam model politik iaitu pekerja-pekerja ini akan mengumpulkan sebanyak mungkin orang dalam usaha untuk menjalankan mogok tersebut. Ini bertujuan untuk memastikan matlamat mereka akan dipenuhi oleh pihak pengurusan tempat mereka bekerja.

Dimensi utama bagi ketiga-tiga model ini dapat dilihat dalam jadual di bawah:

Model Klasik

Model Pentadbiran

Model Politik

Masalah dan matlamat jelas.

Masalah dan matlamat yang samar

Majmuk, percanggahan matlamat.

Keadaan yang penuh kepastian.

Keadaan ketidakpastian.

Keadaan yang tidak pasti dan kekaburan.

Maklumat penuh tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Maklumat terhad tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Pendapat tidak konsisten, maklumat adalah kabur.

Pilihan rasional secara individu untuk memaksimumkan hasil.

Pemilihan berdasarkan memadai/ pemuasan untuk mengatasi masalah dengan menggunakan gerak hati.

Rundingan dan perbincangan antara ahli-ahli gabungan.

 

Saya juga amat tertarik kepada model tong sampah. Model ini menerangkan mengenai beberapa persoalan iaitu mengapa jawapan dicari untuk persoalan yang tidak wujud, mengapa keputusan yang diambil tidak membantu dalam menyelesaikan masalah dan mengapa hanya sesetengah persoalan sahaja yang terjawab. Ini mengingatkan saya kapada pengalaman saya dahulu. Saya telah mencari pelbagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun segala alternatif tersebut tidak banyak membantu saya dalam menyelesaikan masalah saya. Setiap keputusan yang diambil semakin menambahkan masalah yang saya hadapi, dan akhirnya saya berhenti daripada terus membuat keputusan yang semakin membebankan saya.

Kita juga perlu mengetahui mengenai langkah-langkah yang di ambil semasa kita membuat keputusan. Terdapat enam langkah dalam proses membuat keputusan yang efektif iaitu pertama mengenalpasti keperluan dalam keputusan, kedua diagnosis dan analisis tentang penyebab dan punca masalah yang dihadapi, ketiga pembuatan alternatif iaitu kita mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya memilih alternatif yang ingin digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Langkah kelima ialah pelaksanaan alternatif yang telah dipilih dan langkah terakhir ialah penilaian dan maklum balas yang diperoleh setelah kesemua langkah ini dilaksanakan. Setiap daripada langkah ini memainkan peranan penting dalam membuat keputusan. Oleh itu, kita perlu mengikuti kesemua langkah ini bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan betul(Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor).In R. L. Daft, New era of management(2ed.).Mason, Ohio: Thomson.

Kesedaran mengenai sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam urutan membuat keputusan dan ianya memerlukan pengawasan persekitaran dalaman dan juga luaran. Mengenal pasti keperluan dalam keputusan adalah sulit kerana ianya sering dikaitkan dengan menyambungkan cebisan-cebisan maklumat dengan cara yang baru dan berbeza (Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor). In R. L. Daft, New era of management(2ed.). Mason, Ohio: Thomson.

 Setelah satu masalah mendapat perhatian, pemahaman mengenai situasi itu perlu diperhalusi. Diagnosis adalah langkah dalam proses membuat keputusan dimana kita menganalisis faktor-faktor penyebab yang tersembunyi yang dikaitkan dengan situasi membuat keputusan. Kita membuat kesilapan sekiranya kita terus pergi ke langkah menjana alternatif-alternatif tanpa meneroka terlebih dahulu punca masalah yang dihadapi dengan lebih mendalam. Kepner dan Tregoe, yang menjalankan kajian secara meluas mengenai pembuatan keputusan oleh seseorang pengurus mencadangkan pengurus terbabit menanyakan beberapa siri soalan bagi menentukan penyebab dan punca-punca tersembunyi bagi sesuatu masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, dalam membuat keputusan ini banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Setiap keputusan yang diambil mempunyai kesan terhadap hidup kita sama ada untuk jangka masa panjang ataupun jangka masa pendek. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dengan segala tindakan kita dalam membuat keputusan. Bak kata pepatah "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna". Jadi kita sewajarnya berfikir banyak kali dan meminta pendapat daripada orang lain dalam membuat sesuatu keputusan. Kita juga perlulah mengikuti enam langkah penyelesaian masalah seperti yang telah saya nyatakan agar kita dapat membuat keputusan dengan lebih efektif.

 

 


A133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 3 HEURISTIKA DAN BIAS

Ini merupakan pembelajaran ketiga dalam Kemahiran Membuat Keputusan. Apakah yang dimaksudkan dengan heuristika dan bias? Pertama sekali semasa saya mendengar tajuk ini saya rasa amat tertarik kerana ianya satu istilah yang agak menarik dan pelik. Heuristika ialah teknik atau peraturan yang digunakan oleh individu bagi menjawab soalan-soalan seperti, "Apakah kebarangkalian sesuatu peristiwa itu berlaku?" Heuristika juga merupakan pedoman-pedoman am atau strategi yang berkemungkinan menghasilkan penyelesaian masalah yang betul. Manakala bias ialah kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu.

Heuristika dapat dibahagikan kepada empat iaitu Heuristika Jalan-Jawapan, Heuristika Analogi, Heuristika Representatif  dan Heuristika Ketercapaian.Saya amat tertarik kepada Heuristika Jalan-Jawapan kerana ianya satu kaedah berfikir kearah menentukan dahulu apa jawapan atau penyelesaian yang diingini, kemudian barulah kita cari jalan atau cara-cara untuk menyelesaikannya. Maknanya kita mempunyai satu matlamat, apabila kita ingin mencapai matlamat tersebut kita akan mencari jalan untuk memenuhi matlamat kita. Saya ingin membeli sebuah laptop, maka, saya akan mencari jalan bagi membolehkan saya mendapatkan laptop tersebut. Inilah contoh bagi heuristika Jalan-Jawapan.

Manakala Heuristika Analogi merupakan penyelesaian masalah berdasarkan kepada keserupaan masalah dari segi struktur. Selain itu, dalam heuristika analogi ini juga, kita menggunakan penyelesaian masalah lain untuk menyelesaikan masalah baru. Contoh masalah yang serupa ialah memandu kereta buatan Malaysia dan memandu kereta buatan Jepun. Contoh masalah tidak serupa ialah membeli tiket bas dengan membeli tiket perlawanan bola sepak. Pengalaman saya dalam heuristika ini dapat dilihat semasa saya ingin membeli tiket untuk menonton wayang, saya menggunakan pengalaman membeli tiket bas. Pengalaman ini digunakan kerana saya berpendapat tidak terdapat perbezaan dalam membeli tiket wayang dan tiket bas. Rupa-rupanya terdapat perbezaan dalam pembelian kedua-dua tiket ini. Semasa membeli tiket bas, kita tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkannya. Sebaliknya, kita perlu beratur panjang ketika ingin membeli tiket wayang.

Heuristika representatif ialah perwakilan iaitu menggunakan satu peristiwa dengan bentuk prototaip dan sekiranya terdapat banyak persamaan antara kedua-duanya, maka kita percaya ianya lebih munasabah. Misalnya, sekiranya kita ingin membeli durian, kita akan merasa seulas durian dan sekiranya elok, kita akan berpendapat bahawa semua durian yang dibeli oleh kita adalah elok. Inilah yang dikatakan heuristika representatif.

Heuristika ketercapaian pula merujuk kepada apa yang boleh dicapai oleh minda berdasarkan kepada pengalaman kita. Heuristika ini juga berkait rapat  dengan ingatan jangka panjang. Pada suatu hari, saya pernah terfikir untuk ponteng kelas tetapi apabila saya teringat peristiwa beberapa orang rakan saya yang dirotan di khalayak ramai kerana ditangkap oleh guru disiplin ketika sedang ponteng menyebabkan saya membuat keputusan untuk membatalkan niat saya tersebut. Ini menunjukkan bahawa ingatan kita mengenai sesuatu peristiwa dapat membantu kita dalam membuat keputusan.

Bias. Mungkin kita tidak begitu memahami maksud perkataan ini. Bias ialah berat sebelah iaitu kita membuat keputusan tentang sesuatu dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Kecenderungan ini mengganggu keupayaan kita untuk menjadi objektif dan tidak prejudis terhadap sesuatu atau seseorang. Bias ini wujud daripada heuristika representatif dan ketercapaian. Terdapat beberapa kategori bias iaitu bias terlalu yakin, bias tersangkut, bias kesahan, bias maklumat sedia ada, bias representatif dan peningkatan komitmen. Saya amat tertarik kepada bias terlalu yakin. Bias ini terjadi apabila kita terlalu yakin akan keupayaan diri dalam membuat keputusan. Ramai diantara kita tidak menyedari mengenai kewujudan bias ini semasa kita membuat keputusan dan akibatnya keputusan yang diambil itu menjadi berat sebelah. Seterusnya ialah bias maklumat sedia ada iaitu menggunakan maklumat sedia ada ditangan yang baru dan masih segar dalam diri kita.

Selain itu, Dr.Ahmad juga telah menerangkan mengenai Groupthink iaitu pemikiran berkumpulan. Idea ini dperkenalkan oleh Janis. Untuk mencapai kesepakatan, kita tidak  lagi memikirkan mengenai perkara negatif, asalkan kita dapat mengutarakan idea, dan setia kepada ahli serta mencapai kesepakatan. Definisi yang lengkap bagi Groupthink ialah pemikiran seseorang apabila kecenderungan untuk mencapai persetujuan menjadi keutamaan sehingga mengenepikan penilaian realistik terhadap alternatif penyelesaian yang lain. Contoh yang diberikan oleh Dr.Ahmad agar saya dan rakan-rakan bagi memudahkan kami memahami mengenai groupthink ini ialah kisah mengenai 'Pearl Harbor'. Kisah peperangan dimana Jepun dapat menyerang Amerika Syarikat walaupun Amerika Syarikat adalah sebuah kuasa besar.  Orang atasan Amerika Syarikat telah memandang remeh mengenai kemampuan Jepun dan mengabaikan perkara yang dianggap mustahil untuk dilakukan oleh pihak Jepun. Ini kerana mereka beranggapan Jepun tidak mempunyai kelengkapan untuk menyerang mereka. Akibatnya, Amerika Syarikat telah mengalami kekalahan yang teruk semasa diserang oleh pihak Jepun.  Perisikan U.S. telah kehilangan hubungan dengan kapal terbang yang menuju ke  Hawai dan mereka juga gagal untuk menghantar pasukan peninjau udara yang dapat memberikan amaran awal. Akibatnya, U.S telah kehilangan 18 kapal terbang, 170 pesawat dan 3700 nyawa. Ini kerana tiada amaran oleh tentera Jepun.  

 

Saya juga dapat memahami simtoms groupthink iaitu illusi kehebatan diri, rationalisasi secara kolektif, kepercayaan, pandangan stareotaip, direct pressure, self-censorship, ilusi tentang  persetujuan mutlak dan mindguards.  Saya amat tertarik kepada Ilusi kehebatan diri. Ianya adalah seperti situasi dimana US percaya bahawa tenteranya hebat dan Jepun tidak akan menyerang mereka. Satu lagi contoh bagi ilusi ini ialah ramai orang percaya bahawa kapal titanic  tidak akan tenggelam. Tetapi akhirnya kapal tersebut tenggelam apabila melanggar ais di lautan.  Rationalisasi secara kolektif pula ialah kita percaya idea yang dibawa oleh seseorang, kita tidak berfikir secara kritikal, dan kita yakin selama ini dia membuat keputusan yang betul. Seterusnya ialah kepercayaan iaitu terdapat sesetengah ahli mesyuarat tidak bersetuju dengan Kennedy untuk menceroboh negara yang kecil. Kennedy telah ditawan oleh tentera Cuba kerana dia tidak memandang perkara yang dianggapnya tidak penting. Selain itu, pandangan stareotaip iaitu Kennedy menganggap Castro terlalu lemah. Oleh itu, apa-apa keputusan yang hendak dibuat oleh rakyat perlu merujuk kepada Castro. Ini akan menambahkan beban kepada Castro.            

 

 Dr.Ahmad juga memberitahu mengenai tanda-tanda yang wujud sekiranya kita membuat keputusan yang salah. Antaranya ialah kajian alternatif yang tidak lengkap dan tidak bertulis, gagal dalam meneliti risiko alternatif yang diambil, pencarian yang tidak berapa baik, bias semasa memproses maklumat, dan gagal untuk merancang pelan. Saya berharap dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari dalam kehidupan saya. Belajar untuk membuat keputusan bukanlah sesuatu yang senang dan juga bukanlah sesuatu yang terlalu sukar. Oleh itu, sekiranya kita ingin membuat sesuatu keputusan, kita seharusnya memikirkan kesan-kesan yang terpaksa dihadapi setelah sesuatu keputusan itu diambil sama ada kesan baik ataupun buruk.

 

 



A133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 4 PERSEPSI , INGATAN  , PERHATIAN  DALAM MK

Berjumpa lagi kita dalam sesi keempat. Tajuk pembelajaran saya pada kelas minggu ini ialah persepsi, ingatan dan perhatian dalam membuat keputusan. Apakah kaitan ketiga-tiga tajuk ini dalam proses membuat keputusan? Pada mulanya, saya juga tertanya-tanya apakah kaitan ketiga-tiga komponen ini dalam proses membuat keputusan.  Saya tidak nampak kaitan antara ketiga-tiga komponen ini dengan pembelajaran kemahiran membuat keputusan. Akhirnya pada penghujung kelas barulah saya mengetahui bahawa ketiga-tiga komponen ini banyak mempengaruhi kita dalam proses membuat keputusan.

Ketiga-tiga komponen ini ialah "peralatan" yang digunakan dalam proses membuat keputusan. Peralatan di sini bukanlah bermaksud alatan yang digunakan untuk kita membaiki sesuatu seperti yang kita gunakan untuk membaiki kenderaan. Peralatan ini bermaksud sesuatu benda yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar tetapi ianya wujud dalam minda kita.

Perkara pertama yang kita perlu lakukan dalam membuat keputusan ialah mengenalpasti masalah yang wujud. Dalam membuat keputusan, data-data yang datang kepada kita adalah dalam bentuk perkataan. Oleh itu, dalam proses membuat keputusan kita sewajarnya mampu mengenalpasti persamaan atau perbezaan dengan masalah-masalah kita sebelum ini. Selain itu, kita juga perlulah dapat membezakan sebab-sebab berlakunya sesuatu masalah itu dan simptom-simptomnya. Kita juga perlu mempunyai kemahiran untuk memecahkan masalah yang dihadapi kepada komponen-komponen yang lebih kecil. Ini bertujuan untuk memudahkan  kita melihat masalah tersebut dari pelbagai aspek dan perkara yang paling penting sekali dalam proses membuat keputusan ini ialah kita berupaya untuk mengenalpasti masalah mengikut prioriti.

Persepsi? Apa yang kita faham mengenai persepsi. Menurut Stephen Pepper (1967), persepsi ialah satu aktiviti yang dilakukan dalam keadaan sedar yang menghubungkan seseorang dengan keadaan di sekelilingnya. Maknanya, tanggapan kita mengenai keadaan di sekitar kita. Persepsi ini dapat dikatakan juga sebagai bagaimana kita menggunakan minda kita untuk melihat dunia iaitu pandangan kita mengenai dunia dengan menggunakan minda kita. Dalam kuliah ini kami telah menonton satu video yang bertajuk "The Window", video ini menceritakan mengenai sepasang suami isteri yang baru berpindah rumah. Keesokan hari, semasa mereka sedang bersarapan, si isteri ternampak jirannya sedang menjemur pakaian. Dia memberitahu suaminya bahawa jirannya tidak tahu mencuci pakaian dengan menggunakan cara yang betul kerana semua pakaian yang dijemur tidak bersih. Suaminya hanya mendiamkan diri. Setiap hari dia akan memberikan komen yang sama kepada jirannya itu. Setelah sebulan berlalu, pada suatu hari, si isteri memberitahu suaminya bahawa jirannya telah belajar mencuci pakaian dengan betul dan dia ingin mengetahui siapa yang telah mengajar jirannya itu mencuci pakaian dengan cara yang betul. Si suami menjawab, "saya bangun awal pagi ini dan mencuci tingkap rumah kita". Apa yang dapat kita perolehi daripada cerita ini? Pertama, kita tidak boleh melihat sesuatu itu berdasarkan pandangan kasar sahaja. Keduanya, jangan kita membuat pandangan mengenai seseorang mengikut apa yang kita nampak mengenai luarannya. Selain itu, kita juga tidak seharusnya mempunyai perasaan hasad dengki dalam hati kita. Ini mengingatkan saya kepada pengalaman saya. Saya telah dicalonkan untuk menjadi ketua bagi sesuatu aktiviti, namun gara-gara perasaan hasad dengki seseorang, saya tidak dilantik sebagai ketua bagi aktiviti tersebut.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi persepsi. Pertama, orang yang membuat tanggapan. Kita membuat persepsi berdasarkan pengalaman, motivasi, tarikan dan pandangan mengenai sesuatu perkara. Kedua, situasi. Kita akan membuat persepsi berdasarkan masa, situasi di tempat kerja dan keadaan sosial dan yang terakhir ialah sasaran atau target. Komponen dibawah faktor ini ialah sesuatu yang baru, misalnya kita akan tertarik jika perkara yang diperkatakan itu merupakan sesuatu yang masih baru. Kedua, sesuatu yang bergerak. Contohnya, jika kita berada dalam satu majlis, apabila kita ternampak seseorang berjalan, kita lebih tertarik untuk melihat orang itu berbanding dengan tetamu yang sedang duduk. Bunyi juga menarik minat kita untuk membuat persepsi. Misalnya, jika terdapat seseorang terkentut dalam suasana yang sunyi, kita akan melihat kearah orang tersebut dan secara automatik kita akan membuat persepsi mengenai orang tersebut. Oleh itu, tidak mustahillah sekiranya kita mempunyai pendapat yang berbeza mengenai sesuatu keadaan kerana terdapatnya perbezaan persepsi dalam keadaan tersebut.

Namun, terdapat juga batasan dalam membuat persepsi. Ini kerana pandangan kita boleh mengalami ilusi. Selain itu, ruang lingkup yang terhad dengan ruangan fizikal dan keupayaan berfikir juga mempengaruhi persepsi kita mengenai sesuatu perkara. Kita membuat penafsiran tentang apa yang dipersepsi hanya sekiranya ia berkait dengan pengetahuan dan pengalaman relevan yang ada pada kita. Dalam membuat keputusan juga terdapat "blind spot". Persepsi digunakan dalam melihat sesuatu masalah secara fizikal. Selain itu, persepsi ini juga dilakukan dengan tujuan tertentu dan dicapai dengan menentukan rujukan objektif. Dalam membuat keputusan, sekiranya persepsi kita betul dan tepat, pemahaman kita mengenai masalah juga menjadi betul. Ini membantu kita dalam membuat keputusan yang tepat.

Seterusnya, komponen kedua iaitu ingatan. Terdapat dua bentuk ingatan iaitu ingatan jangka panjang dan ingatan jangka pendek. Peranannya dalam proses membuat keputusan ialah membantu dalam mengenalpasti masalah yang hampir sama dengan masalah yang dihadapi sebelum ini. Oleh itu, masalah yang dihadapi mudah diselesaikan. Fungsi ingatan dalam proses membuat keputusan adalah membantu dalam mengingati maklumat, mengaitkan keadaan dahulu dengan sekarang dan membantu dalam proses pengecaman. Saya selalu menggunakan ingatan dalam menyelesaikan masalah matematik yang gagal dijawab semasa peperiksaan untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah matematik dalam peperiksaan selepas itu.

Komponen terakhir ialah perhatian. Menurut Kahneman(1973), perhatian dapat didefinisikan sebagai penggunaan aktiviti mental dalam keupayaan untuk memproses maklumat. Fungsinya adalah sebagai ejen pemilihan dan ejen pengurusan tugasan. Kita perlu memberi perhatian dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Seperti contoh yang diberikan oleh Dr. Ahmad Zamri, seorang pensyarah bidang kedoktoran memberitahu pelajarnya bahawa terdapat dua perkara penting dalam bidang tersebut iaitu pertama, tidak boleh jijik kepada mayat, lalu dia memasukkan jarinya ke dalam mulut mayat itu dan menjilat jari tersebut. Setelah itu, dia meminta pelajarnya mengikuti tindakannya tadi. Setelah semua pelajarnya mengikut tindakannya, dia memberitahu kepada pelajarnya bahawa perkara kedua yang penting ialah PERHATIAN. Dia memberitahu pelajarnya bahawa dia menggunakan jari hantu semasa masukkan ke dalam mulut mayat tetapi dia menjilat jari telunjuknya. Jadi, ini menunjukkan pentingnya kita memberi perhatian dalam melaksanakan sesuatu perkara agar kita tidak tersilap membuat keputusan.

Kesimpulannya, ketiga-tiga komponen ini memainkan peranan penting dalam membantu kita membuat keputusan. Persepsi menyebabkan ingatan kita dirangsang, ingatan yang dirancang pula akan membuatkan kita menumpukan perhatian kepada masalah yang dihadapi. Jadi, ketiga-tiga komponen ini saling berhubung dan membantu kita dalam membuat keputusan.


A133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 5 PERSONALITI

 

Sudah minggu kelima saya mengikuti kursus ini. Tajuk pembelajaran saya pada kelas minggu ini ialah personaliti yang mempengaruhi kita dalam membuat keputusan. Apakah kaitan  tajuk ini dalam proses membuat keputusan? Pada mulanya, saya juga tertanya-tanya apakah kaitan personaliti kita dalam proses membuat keputusan.  Saya tidak nampak kaitan antara komponen ini dengan pembelajaran kemahiran membuat keputusan. Akhirnya pada penghujung kelas barulah saya mengetahui bahawa  komponen ini banyak mempengaruhi kita dalam proses membuat keputusan.

 

Personaliti ialah himpunan pola emosi, pemikiran dan perlakuan seseorang. Ini menyebabkan kita berbeza antara satu sama lain dan agak unik. Personaliti di sini bukanlah bermaksud sesuatu yang boleh dihitung tetapi sesuatu yang dapat kita lihat daripada kelakuan seseorang. Personaliti ini melambangkan identiti seseorang yang membezakan dirinya dengan orang lain.

Menurut Dr. John A. Jhonson, secara umumnya ciri-ciri personaliti seseorang individu di bahagikan kepada 5 sifat yang asas iaitu mengikut suatu konsep yang dikenali sebagai OCEAN.

5 sifat yang disebutkan tadi adalah seperti berikut:

  • (O) OPENESS TO EXPERIENCE - Mempunyai sikap terbuka
  • (C) CONSCIENTIOUSNESS - Mempunyai kesedaran
  • (E) EXTROVENT - Bersifat sosial (suka bergaul)
  • (A) AGREEABLE - Berpendapat sama (senang mencapai persetujuan)
  • (N) NEUROTICISM - Bersifat neurotik (Mempunyai gangguan emosi)

Untuk sifat yang pertama iaitu Openess To Experience, mereka merupakan golongan yang mempunyai sikap atau minda yang terbuka terhadap sesuatu idea atau pendapat.  Selain itu, mereka juga sangat suka untuk  terdedah kepada sesuatu pengalaman yang baru. Bagi golongan ini dunia ini merupakan "Tempat Pembelajaran" mereka, dan  mereka beranggapan setiap daripada pengalaman yang diterima atau datang kepada mereka akan di gunakan dengan sepenuhnya. Mereka mempunyai sifat ingin tahu (intellectually curious) yang begitu mendalam. Mereka suka pada sesuatu benda yang cantik dan menghargai kesenian. Golongan ini juga lebih peka terhadap emosi mereka dan suka membandingkan diri mereka dengan orang yang terdekat dengan mereka. Mereka bertindak dan berfikir menggunakan cara tersendiri (individualistic) dan dalam cara yang kurang berkonfrontasi.

Mereka juga bersikap terbuka kepada pengalaman (openess to experience). Menurut pandangan ahli sosiologi, golongan ini adalah sihat dan lebih matang dari aspek pemikiran dan tindak-tanduk mereka.Walau bagaimanapun pemikiran terbuka dan tertutup ini berguna pada situasi atau persekitaran yang berbeza.

 Sifat yang kedua ialah Conscientiousness iaitu mempunyai nilai kesedaran yang tinggi. Ini satu ciri personaliti dimana seorang individu itu amat berhati-hati semasa membuat sebarang keputusan, atau satu kualiti yang wujud dalam diri seorang manusia yang bertindak mengikut kesedaran mindanya. Ciri ini merujuk kepada seseorang yang mempunyai kesedaran tentang perkara yang merangkumi kehidupan sehariannya, persekitarannya dan masyarakat sekelilingnya. Kesedaran ini berdasarkan cara seseorang itu mengawalnya,mengurusnya dan cara  bertindak berdasarkan impuls yang diterima. Golongan ini boleh dipercayai, sanggup berkerja keras untuk sesuatu, menepati masa, kemas dari segi kerjanya dan keperibadian luarannya, berdisiplin, bercita-cita tinggi dan mempunyai atau suka pada kehidupan yang teratur (organized).

Ciri personaliti yang ketiga ialah extrovent. Golongan yang berada dalam kumpulan ini biasanya bersikap "out going", penuh bertenaga dan biasanya bersikap positif. Mereka yang tergolong dalam kumpulan ini mempunyai minat terhadap orang lain atau persekitaran mereka daripada dirinya sendiri. Persepsi dan perspektif mereka terhadap sesuatu perkara itu terutamanya tentang kehidupan ini pada kebiasaannya ialah positif. Bagi golongan ini, dunia ini merupakan "Taman Permainan" mereka. Semasa berada didalam kumpulan mereka, mereka suka sangat bercakap, menilai diri mereka dan mendapat perhatian. Kumpulan yang berlawanan sifatnya dengan kumpulan ini ialah kumpulan yang di kenali sebagai golongan Introvent. Golongan introvent ini kurang dari segala aspek yang ada pada golongan extrovent. Antara ciri personaliti yang di miliki oleh golongan ini adalah kurang bertenaga, suka bersendirian dan biasanya kurang berhubung dengan masyarakat sekeliling. Ini bukan bermakna mereka ini "Anti-sosial", sedih (depressed) atau berasa malu tetapi mereka ini tidak  banyak stimulasi dari persekitaran mereka berbanding dengan yang berada dalam golongan extrovent dan lebih suka memilih untuk bersendirian .

Ciri personaliti keempat ialah Agreeable. Golongan ini merupakan individu yang mempunyai pendapat yang berbeza tentang sesuatu perkara yang berkaitan dengan kerjasama dan keharmonian sosial diantara masyarakat. Individu yang mempunyai nilai yang tinggi dalam ciri ini menghargai perhubungan dengan orang ramai. Jadi orang yang mempunyai nilai yang tinggi dalam ciri ini berperikemanusian, peramah, suka menolong ,dermawan dan sanggup berkompromi dengan orang lain walaupun kepentingan mereka mungkin akan tergugat.

Individu yang senang berkompromi ini mempunyai pandangan yang optimistik terhadap manusia, mereka senang melihat pada kebaikan yang ada pada orang lain, senang mendapat dan mengekalkan hubungan dengan orang lain dan mereka dapat mengekalkan status populariti mereka dengan baik. Manakala, individu yang kurang mempunyai trait ini meletakkan kepentingan diri sendiri daripada bergaul dengan orang ramai. Mereka tidak mengambil peduli tentang masalah orang lain dan tidak kisah akan pandangan orang ramai tentang diri mereka. Kadang- kala mereka berprasangka terhadap motif orang lain dan ini membuatkan mereka bersifat wasangka, tidak berkerjasama dan kurang peramah. Tetapi keburukan memiliki trait ini ialah  orang ini kurang sesuai untuk membuat kerja-kerja yang lasak atau yang memerlukannya membuat keputusan secara individu dengan betul.

Ciri yang terakhir ialah Neuroticism. Trait ini merujuk kepada mereka yang kebiasaannya berpandangan negatif. Mereka yang bertahap tinggi dalam trait ini pada mulanya merasa satu sifat yang negatif yang spesifik contohnya seperti kemarahan, kemuraman (depression), ketakutan atau kebimbangan pada sesuatu isu, tapi kemungkinan orang ini akan merasakan lebih dari salah satu emosi-emosi negatif ini pada satu-satu masa yang tertentu atau pada masa yang sama juga. Mereka yang berada dalam golongan ini mempunyai emosi yang reaktif. Ini kerana mereka bertindak dengan lebih beremosi terhadap sesuatu perkara atau peristiwa yang pada padangan atau response orang lain adalah biasa. Reaksi mereka terhadap perkara-perkara ini adalah lebih tertekan.

Mereka lebih tercenderung untuk memandang sesuatu situasi yang normal sebagai mengancam nyawa dan kekecewaan yang kecil dalam hidup mereka sebagai sesuatu yang sangat susah. Disebabkan emosi-emosi negatif ini berpanjangan, kebiasaannya golongan ini tertekan sepanjang masa. Disebabkan oleh faktor-faktor ini, golongan ini tidak dapat berfikir secara logik.

Dalam sesi kuliah minggu ini juga, pensyarah menerangkan apa itu MBTI yang bermaksud "The Myers-Briggs Type Indicator". Terdapat empat aspek di dalam MBTI iaitu Jenis Sosial (intreaksi) antara Extrovert (E) dan Introvert (I), Keutamaan Dalam Mengumpul Data seperti Sensing (S) dan Intuitive (N), Keutamaan Dalam Membuat Keputusan iaitu feling(F) dan Thinking(T) dan Gaya Membuat Keputusan iaitu Perceptive (P) dan Juggemental (J). Terdapat 16 gabungan MBTI ini iaitu ISTJ, ISFJ, INFJ, INTJ, ISTP, ISFP, INFP, INTP, ESTP, ESFP, ENFP, ENTP, ESTJ, ESFJ, ENFJ dan ENTJ. Saya tergolong dalam kumpulan ESTP iaitu lebih termotivasi dengan berinteraksi dengan orang, lebih sukakan sesuatu yang konkrit berbanding sesuatu yang abstrak dan memberikan tumpuan kepada perkara yang lebih detail berbanding sesuatu yang luas. Saya juga lebih tumpukan kepada logik dalam membuat keputusan berbanding nilai-nilai personal dan saya dapat mengubah sesuatu keputusan yang dibuat apabila ada sesuatu yang baru.

Menurut Myers-Briggs, seseorang yang jenis ESTP adalah seorang yang cepat mempelajari sesuatu, melihat perkara yang terbaik dalam kehidupan dan sanggup berkongsi dengan rakan-rakannya. Selain itu, ESTP merupakan seseorang yang bersifat terbuka dalam sesuatu situasi dan bersedia untuk memperbaiki dan mengubah keputusan yang dibuat. Mereka adalah orang yang aktif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi berbanding hanya berbincang tentang masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, personaliti juga banyak mempengaruhi kita dalam membuat keputusan. Setiap daripada manusia itu mempunyai personaliti tertentu yang mempengaruhinya dalam membuat keputusan.