Friday, February 11, 2011

A131944 MUHAMMAD AMIRULL AFIQQ BIN MOHAMAD LOKMAN TAJUK 1 BINGKISAN PERTAMA : HEURISTIKA & BIAS

Setelah hampir dua minggu mendaftar untuk subjek  Kemahiran Membuat Keputusan, ini adalah hari pertama saya dan rakan-rakan berkesempatan untuk mengahadiri sesi kuliah (sebelum ini berlaku pertindihan jadual kuliah). Walaupun tidak seperti kuliah-kuliah lain yang diadakan di bangunan fakulti undang-undang, kami tidak berasa janggal mengahadiri kuliah tersebut kerana dewan kuliah yang digunakan adalah dewan yang sama digunakan untuk kuliah Hubungan Etnik pada semester lepas. Sebaliknya, kami teruja untuk menimba ilmu baharu di samping berkenalan dengan pensyarah dan teman-teman baharu. Mana tidaknya, setelah hampir 20 tahun kami berpijak di bumi Tuhan ini, setiap hari menggalang beban masalah dan situasi yang mendesak kami untuk bertindak, baru hari ini kami berkesempatan untuk mempelajari resipi yang dihasilkan oleh para cendekiawan berkenaan perihal membuat keputusan. Hasil adunan teori, konsep dan teknik membuat keputusan ini telah membuat kami berfikir sejenak dan menginsafi kekerdilan diri masing-masing di sisi Ilahi, betapa luas ilmu Yang Maha Esa sehingga merangkumi setiap detik kehidupan.

"Dalam hidup, tiada orang yang dapat membuat keputusan secara rasional kerana kita kerurangan maklumat dan masa."

Demikian kata-kata pensyarah kami, Encik Zamri, sebelum memulakan sesi pengkuliahan hari itu. Bayangkanlah, dek kerana kekurangan maklumat dan masa, setiap fasa pembuatan keputusan yang kita rencanakan barangkali membawa kita kepada penyelesaian yang kurang tepat dan juga berkemungkinan salah secara total. Benar, seseorang tidak mempunyai banyak maklumat dan masa untuk merangka keputusan yang bakal diambil, kerana masalah bukanlah seperti undangan untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan, tiada kad jemputan dihantar seminggu atau dua minggu sebelum hari kejadian. Kalaupun  dalam situasi kita menerima jemputan ke majlis perkahwinan, kadang-kadang timbul juga kesulitan dalam perancangan kita untuk menghadiri majlis tersebut. Sebahagian daripada kesulitan tersebut mungkin berpunca daripada ketidaktepatan dalam membuat keputusan berkaitan perancangan kita sendiri. Tuntasnya, membuat keputusan sebenarnya merupakan sebuah proses yang kompleks, namun membuat keputusan yang tepat adalah tidak mustahil.

Hari ini, tajuk kuliah adalah 'Heuristika dan Bias'. Frasa "bias" sudah tidak asing lagi bagi saya dan rakan-rakan fakulti undang-undang kerana konsep 'bias' telah kami pelajari dalam pengajian psikologi sosial. Tetapi inilah kali pertama kami didedahkan dengan konsep heuristika. Menurut Encik Zamri, heuristika merujuk kepada situasi bagaimana manusia membuat keputusan dalam keadaan kekurangan maklumat. Menurut beliau lagi, heuristika terbahagi kepada empat jenis iaitu heuristika jalan-jawapan, heuristika analogi, heuristika representatif dan heuristika ketercapaian.

Heuristika jalan-jawapan merupakan satu kaedah berfikir kearah menentukan dahulu jawapan atau penyelesaian yang diingini, kemudian barulah kita memikirkan jalan atau cara-cara untuk menyelesaikanya. Sebagai contoh, setelah memilih untuk mendaftarkan diri untuk set 6 pengkuliahan subjek Kemahiran Membuat Keputusan, barulah kami memikirkan kaedah pengangkutan untuk ke dewan kuliah di kompleks. Menggunakan kaedah ini, proses membuat keputusan adalah lebih bebas dan tidak tertakluk kepada struktur tertentu kerana kita boleh memilih untuk menyelesaikan masalah dari mana-mana bahagian yang kita mahu.

 

Seterusnya, heuristika analogi merujuk kepada kaedah penyelesaian masalah berdasarkan keserupaan masalah dari segi struktur. Mengambil contoh paling mudah, saya cuba berkongsi pemahaman dengan seorang rakan ;

 

"Hang ada marka. Tiba-tiba, marka hang ni merajuk. Hang buntu ni, macam mana la nak pujuk, marka sikit punya lawa, takut terlepas. Pikir punya la pikir, hang decide nak guna cara yang sama hang pujuk ex-marka hang yang dulu. Tu la kita panggil heuristika analogi. Nampak secara umumnya macam sama, yang tu marka, yang ni pun marka jugak. Tapi hang mungkin juga tersilap sebab marka dulu perangai dia macam tu, marka sekarang perangai macam ni pulak."

 

Ketiga, heuristika representatif atau perwakilan. Bagi menggambarkan secara jelas kepada kami, Encik Zamri menggunakan contoh seseorang yang ingin membeli sekilogram buah rambutan. Kelazimannya, untuk mendapat kepastian mengenai rasa buah rambutan yang ingin dibeli, kita hanya mencuba rasa beberapa biji sahaja. Kemudian, kita akan membuat generalisasi bahawa kalau beberapa biji yang kita cuba itu enak rasanya, maka kemungkinan besar kesemua buah-buah itu enak juga. Benarlah kata Encik Zamri, kita memang selalunya begitu. Mungkin cara itu bukan ujian yang paling tepat, tetapi kalau kita cuba kesemuanya, apa pula yang akan kita beli nanti? Si penjual pun sudah pastinya tidaklah terlalu pemurah sehingga sanggup memberi semua buah rambutan yang ada kepada kita untuk dieksperimen.

 

Akhir sekali, heuristika ketercapaian. Heuristika jenis ini berkait rapat dengan kapasiti ingatan manusia yang terhad. Penyelesaian masalah atau membuat keputusan adalah berdasarkan kepada perkara atau peristiwa yang mudah diingat semula dalam ingatan kita. Kita ambil tragedi 13 Mei sebagai contoh. Peristiwa berdarah itu masih lagi hijau dalam ingatan rakyat Malaysia yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung. Pastinya, tiada siapa yang mahu konflik itu berulang. Oleh sebab itu, kita sebagai ahli masyarakat yang majmuk telah sepakat untuk berpegang kepada kontrak social bagi mengekalkan keharmonian yang telah dipupuk sejak sekian lama.

 

Selesai dengan tajuk heuristika, kami dibahagikan kepada empat kumpulan dan diarahkan oleh Encik Zamri Untuk membincangkan contoh bagi setiap jenis heuristika. Selepas 15 minit, setiap kumpulan menghantar wakil untuk melakukan pembentangan. Berpasangan dengan saudara Wan Nazmir Harizam, kami diminta untuk membentangkan contoh bagi heuristika analogi. Pembentangan yang dilakukan oleh keempat-empat kumpulan berjalan dengan lancar, setiap kumpulan mampu menghuraikan tajuk tersebut dengan tepat.

 

Selepas berehat selama 5 minit, sesi pengkuliahan disambung dengan tajuk "Bias". Bias merupakan kecenderungan untuk melihat sesuatu perkara dengan dipengaruhi oleh perspektif tertentu. Bias biasanya dikaitkan rapat dengan keputusan yang berat sebelah. Mengambil contoh yang paling dekat di hati saya, Ryan Babel, penyerang Liverpool mendakwa pengadil perlawanan sewaktu pertembungan antara Liverpool dengan musuh tradisi, Manchester United, baru-baru ini telah bertindak bias dengan memberikan sepakan penalti kepada pasukan di tangga teratas Liga Premier Barclays itu pada minit-minit awal perlawanan. Hal ini demikian kerana, menurut Babel, penyerang United, Dimitar Berbatov langsung tidak dikasari oleh pertahanan muda Liverpool berbangsa Denmark, Daniel Agger. Tambah beliau, pengadil tersebut mungkin cenderung untuk membuat  keputusan yang sememangnya memihak kepada United.

 

Berdasarkan contoh yang telah diberikan, dapatlah kita simpulkan bahawa bias secara dasarnya mengganggu keupayaan seseorang untuk menjadi objektif dan tidak prejudis. Bias mungkin berpunca daripada sesetengah heuristika iaitu heuristika representatif dan heuristika ketercapaian.

 

Terdapat variasi jenis bias. Namun saya tertarik untuk membincangkan sejenis bias yang dinamakan 'groupthink' dan kaedah-kaedah yang boleh kita laksanakan untuk menghindari bias jenis ini. Menurut Irving Janis, dalam sesebuah kumpulan perbincangan atau kumpulan yang menjalankan mesyuarat, kecenderungan untuk mencapai kata putus bersama kadangkala menyebabkan ahli kumpulan tersebut gagal mencambahkan lebih banyak idea. Kecenderungan ini seolah-olah meletakkan batu penghalang dalam minda ahli kumpulan yang menghalang mereka daripada terus bereksplorasi dan berdebat dengan minda mereka sendiri. Keadaan ini dikatakan mampu membunuh kreativiti dan menyebabkan kita menyempitkan skop pemikiran kepada satu hala sahaja.

 

Terdapat beberapa isisiatif yang boleh diambil bagi mengelakkan masalah 'groupthink' ini. Salah satu daripada langkah-langkah tersebut ialah mengharumsuburkan budaya mengkritik. Ahli kumpulan seharusnya aktif memberi kritikan terhadap sessebuah idea agar idea sedia ada dapat diolah dengan lebih meluas. Namun harus diingat, kritikan yang dilemparkan mestilah kritikan yang membina, bukanlah kritikan bertujuan memperlekeh si pemberi idea. Cara kritikan disampaikan juga hendaklah dengan penuh berhikmah supaya perbincangan dapat diteruskan dalam suasana yang sihat tanpa sebarang ketidakpuashatian dan ketegangan. Paling penting, seorang ketua haruslah sentiasa terbuka dalam menelan kritikan yang disampaikan oleh anak-anak buahnya dan menghadam kritikan tersebut sebagai satu bentuk penghargaan terhadap objektif perbincangan diadakan. Teringat saya pada sebuah kata-kata pujangga;

 

"Seorang bos mengatakan 'aku', tetapi seorang pemimpin mengatakan 'kita'.

 Seorang bos menagih rasa takut, tetapi seorang pemimpin memancarkan rasa hormat.

 Seorang bos tahu bagaimana sesuatu itu dikerjakan, tetapi seorang pemimpin itu tahu bagaimana   mngerjakannya.

Seorang bos berkata 'pergi!' tetapi seorang pemimpin berkata 'mari kita pergi'."

 

Tuntasnya, seorang pemimpin sesebuah kumpulan tidak memerlukan ego yang besar untuk berjaya memimpin dengan baik, sebaliknya beliau memerlukan akal yang berhikmah dan bijaksana bagi mengetuai kumpulan terbabit dengan jayanya.                                       

 

Sebagai kesimpulan bingkisan saya kali ini, sekali lagi ingin saya rakamkan rasa teruja dan bersemangat untuk menganalisis ilmu yang akan diberi oleh pensyarah sepanjang semester ini bagi subjek Kemahiran Membuat Keputusan. Walaupun saya dan rakan-rakan terlepas pembelajaran awal, sesikit kekurangan itu tidak pernah kami letakkan sebagai belenggu yang besar, sebaliknya kami melihat kekurangan tersebut sebagai satu bentuk cabaran yang perlu kami galas dengan penuh dedikasi. Kekurangan bukanlah kelemahan, tetapi kekurangan ialah petanda untuk kita berusaha dengan lebuh gigih bagi mencapai visi yang telah ditetapkan. Kuliah pertama kami berjalan dengan lancar. Semoga ilmu mengenai konsep heuristika dan bias ini dapat kami jadikan pedoman dalam mengahrungi hari-hari mendatang.