Monday, February 14, 2011

A131944 MUHAMMAD AMIRULL AFIQQ BIN MOHAMAD LOKMAN TAJUK EMPAT BINGKISAN KEEMPAT : EMOSI

"Awak terlalu beremosi, kesalahannya cuma sekali ini."

"Kenapa beremosi pula, relaks sudah la."

"Jangan terlalu ikutkan emosi, buruk padahnya nanti."

Demikian ungkapan yang sering kita dengar membabitkan proses pembuatan keputusan dan emosi. Umum seolah-olah memandang 'emosi' sebagai suatu entiti yang sukar dikawal sehingga memberi banyak implikasi negatif kepada si empunya diri. Namun adakah pandangan tepat? Atau kita sekadar meletakkan beban kesalahan kepada emosi bagi menutup kepincangan perancangan membuat keputusan yang kita rencanakan?

Emosi merupakan gabungan kompleks interaksi antara faktor objektif faktor subjektif yang dijana oleh sistem hormon neural yang melahirkan perasaan sama ada takut, gembira, marah dan sebagainya. Bagi menerangkan pengaruh sebenar emosi kepada diri individu, kita merujuk kepada buah fikiran Baron dan Logan yang menjelaskan bahawa emosi sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada motivasi. Lang telah mempericikan lagi hubungkait antara emosi dengan respon seseorang individu dengan menyatakan bahawa emosi bertindak sebagai motivasi kepada tingkahlaku & motif boleh menjadi emosional. Berdasarkan penerangan ini, kita dapat melakarkan suatu pemahaman baharu mengenai emosi yang tidak semestinya menjadi stimulus kepada reaksi negatif, namun turut menjadi tunjang kepada keputusan yang baik. Kita akui, emosilah yang mendasari keputusan Sultan Melaka untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap Laksamana Hang Tuah tanpa melakukan siasatan yang menyeluruh. Namun suatu perkara yang kita sering terlepas pandang adalah kesetiaan Tuah terhadap Melaka dan negerinya juga adalah disebabkan oleh emosinya yakni rasa cinta terhadap kedua-dua prioritinya itu.

Dalam situasi ini, teringat saya kepada perbincangan mengenai satu prinsip undang-undang kontrak di bawah common law. Sebagaimana common law, undang-undang kontrak Malaysia turut menerima pakai prinsip pembatalan kontrak disebabkan oleh balasan atau tujuan kontrak yang tidak bermoral atau menentang polisi awam. Frasa 'balasan atau tujuan yang tidak bermoral' telah diperincikan di dalam Akta Kontrak 1950 melalui misalan-misalan seksyen 24(e) akta tersebut. Namun, frasa 'polisi awam' menjadi perdebatan hangat di England, tidak kurang juga di Malaysia. Variasi definisi dan pendekatan telah dicadangkan bagi memberi gambaran mengenai polisi awam. Salah satu pemahaman yang boleh saya kaitkan dengan konsep emosi ialah pemahaman bahawa polisi awam ibarat seekor kuda yang tidak terkawal (merujuk kepada sifat prinsip ini yang sukar untuk dijangka dan dikawal dalam kehidupan masyarakat). Namun, pemahaman seperti ini ditempelak oleh Lord Denning iaitu seorang hakim terkemuka yang menyatakan bahawa seandainya seekor kuda liar yang tidak terkawal itu ditunggangi oleh seorang pakar yang bijaksana dalam mengendalikan kuda terbabit, tidak mustahil kuda itu akan dapat dijinakkan dan dapat menerima arahan oleh si penunggang tadi untuk melompat melepasi halangan-halangan sepanjang perjalanan mereka. Prinsip polisi awam ini memanglah tiada kaitannya dengan konsep emosi, tetapi saya tertarik untuk mengaitkan analogi Lord denning mengenai polisi awam tadi dengan sifat-sifat emosi itu sendiri. Pada hemat saya, emosi memang sukar untuk dijangka dan dikawal, sama seperti seekor kuda liar. Walaupun sebegitu, seandainya seseorang individu bijak mentafsir maklumat-maklumat yang dia peroleh, tidak mustahil 'kuda liar' tadi jugalah yang akan membawanya menelusuri denai cabaran bagi membuat suatu keputusan yang jitu dan tepat.

Berganjak pula kita kepada fasa seterusnya iaitu komponen-komponen emosi. Emosi merangkumi empat komponen dominan iaitu perasaan, proses kognitif, perubahan fisiologi dan tingkahlaku berkaitan. Suatu contoh telah diberikan oleh Encik Zamri bagi menjernihkan nkekaburan pemahaman kami mengenai keempat-empat komponen ini. Beliau memberikan satu situasi mudah; Dalam suatu malam yang gelap, Farihah (nama asal yang diberikan oleh Encik Zamri ialah Junainah, pilihan nama saya hanyalah secara rawak) tiba-tiba terdengar bunyi yang pelik. Dia terus mendengar dan cuba mengenal pasti bunyi tersebut. Jantungnya berdegup kencang. Memberi kejutan kepada Farihah, 'penceroboh' telah melompat masuk ke kamarnya. Dengan tidak semena-mena, Farihah menjerit ketakutan dan melompat turun dari katil. Namun, dia mula sedar bahawa 'penceroboh' itu hanyalah seekor kucing yang kelaparan ;

 

Selesai menceritakan contoh terbabit, Encik Zamri kemudiannya mencerakinkan plot-plot contoh itu kepada empat komponen yang dibincangkan tadi. Ketakutan Farihah merujuk kepada komponen yang pertama iaitu perasaan. Manakala komponen kedua, proses kognitif pula merujuk kepada tiga fasa. Pertama, fasa Farihah mentafsir perasaan yang dialaminya sebagai rasa takut. Kedua, fasa penyiasatan terhadap punca atau sumber bunyi pelik tersebut. Akhir sekali, cubaannya memikirkan cara untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. Selesai komponen kedua, komponen ketiga pula perubahan berbentuk psikologikal iaitu degupan jantung yang semakin kencang, perpeluhan dan pernafasan yang tidak teratur. Komponen keempat dalam situasi yang dibincangkan ini ialah tindakan Farihah yang melompat dan menjerit sejurus 'penceroboh' itu memasuki biliknya secara tiba-tiba. Rantaian psikologi ini jelas menunjukkan bahawa emosi bertindak sebagai permulaan bagi sesetengah tindakan yang kita ambil.

 

Selesai dengan penerangan secara umum mengenai konsep emosi, kami diberi penjelasan pula mengenai teori Lazarus. Teori Lazarus merupakan sebuah teori popular yang menceritakan mengenai fasa pembentukan emosi serta implikasi yang mampu dibawakan oleh emosi terbabit. Menurut Lazarus, setiap emosi mempunyai tiga komponen utama iaitu nilaian kognitif, desakan tindakan dan pola reaksi badan. Nilaian kognitif terdiri daripada tindakan mentaksir rangsangan penting yang berkaitan dengan keselesaan seseorang. Peringkat pertama ini dinamakan penilaian asas. Kemudian, barulah penilaian mengenai strategi-strategi menangani stres yang muncul akibat situasi emosi tersebut. Penilaian asas merupakan penilaian kognitif mengenai punca emosi, bukannya penilaian mengenai isi kandungan emosi. Sebagai contoh, individu yang berhadapan dengan perompak berpistol akan menilai perompak dan pistol(ancaman) bukannya menilai perasaan takut yang dialaminya ketika itu. Selain teori Lazarus, terdapat teori-teori terkemuka lain seperti teori Papez Maclean, teori pelabelan kogniti Scahcter, teori Psikobiologikal dan teori-teori lain yang sebahagiannya menyokong satu sama lain namun terdapat juga teori yang mengkritik dan menempelak teori-teori yang lain.

 

Menutup bingkisan kali ini, saya ingin berbalik kepada fasa awal penceritaan dalam catatan ini iaitu emosi sebagai sumber motivasi. Walaupun tidak semua motivasi berpunca daripada emosi, tetapi dalam keadaan-keadaan yang genting, emosi yang membuak-buak mampu melahirkan motivasi yang ampuh dan sukar untuk ditandingi. Mungkin contoh yang akan saya berikan ini bercanggah dengan pembelajaran kerana berkisarkan ruang lingkup ekosistem kehidupan haiwan, namun yang paling penting, kita sama-sama hayati contoh ini dan ambil seberapa banyak pengajaran yang tersirat di sebalik coretan kehidupan ini. Sambil saya menyiapkan catatan ini, saya juga menonton rancangan Caught on Camera di saluran AXN. Dalam rancangan tersebut, satu kawanan kerbau diserang oleh lima ekor singa betina yang kelaparan. Bimbang akan ancaman singa-singa itu, kawanan kerbau itu lari bertempiaran tanpa menyedari seekor anak kerbau ketinggalan di belakang. Dengan pantas, singa-singa yang kelaparan itu berjaya menerkam anak kerbau yang nyata tidak sukup pantas untuk meloloskan diri. Terkaman itu menyebabkan anak kerbau tadi terjatuh ke dalam tasik yang berhampiran. Ketika singa cuba mengeluarkan habuan mereka yang tampak seolah-olah kelemasan itu, tiba-tiba seekor buaya muncul dan cuba merebut anak kerbau dari mulut sang singa. Walaupun pada awal persaingan buaya kelihatan akan berjaya mendapatkan makanan idamannya, namun kelima-lima singa telah menggandakan kekuatan mereka seterusnya menyebabkan sang buaya mengalah dan berlalu pergi dari situ. Dalam situasi ini, keadaan lapar telah menjadi motivasi ratu-ratu rimba itu untuk terus berjuang bagi mendapatkan mangsa. Motivasi yang dikatakan bukanlah terbit hasil rangsangan emosi, sebaliknya rasa laparlah yang mendorong mereka berusaha lebih gigih. Namun nyawa anak kerbau tadi tidak tamat di situ. Sejurus selepas anak kerbau itu dinaikkan ke darat, kawanan kerbau yang bertempiaran tadi kembali ke situ bagi menyelamatkan putera mereka daripada menjadi santapan singa. Seolah-olah dibakar api kemarahan yang marak, salah seekor kerbau terbabit bertindak menendang dan mengejar salah seekor singa. Kini hanya tinggal empat ekor singa bagi mempertahankan hasil buruan mereka. Si kerbau yang bertempur tadi kemudiannya sekali lagi mendekati kumpulan singa itu. Kali ini bertindak menyondol salah seekor daripada pemangsa paling digeruni di wilayah rimba itu sehingga melambung kira-kira 3 meter. Tindakan berani sang kerbau menyebabkan semua singa berundur, maka terselamatlah anak kerbau yang hampir-hampir menemui ajal sebentar tadi. Jelas, dalam perjuangan kerbau bagi menyelamatkan salah seekor ahli kawanan mereka, emosi marah menjadi penjana utama segala kekuatan dan keberanian yang terpancar. Tuntasnya, dek kerana emosi yang melampaui batas, aturan alam yakni hubungan antara pemangsa dan mangsa juga telah disongsangkan.  Kali ini, emosi tidak merencatkan pembuatan keputusan, malah merangsang pembuatan keputusan yang akhirnya membawa noktah yang menggembirakan.