Tuesday, January 11, 2011

A 133582 NOR AMALIZA MOHD NORDIN PENGENALAN KELAS PERTAMAKU

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada semester ini, saya telah mengambil kursus ZZZT 2263 Kemahiran Membuat Keputusan yang dikendalikan oleh Dr Ahmad Zamri bin Mansor. Saya mengambil kursus ini kerana saya berpendapat bahawa tidak semua orang mengetahui bagaimanakah cara mereka membuat keputusan. Setelah mengikuti kursus ini pada sesi pengenalan, saya dapat rasakan bahawa kursus ini amat sesuai untuk para pelajar universiti.

Pada kuliah pertama ini kami telah diberitahu mengenai tugasan yang perlu kami lakukan untuk mendapat markah dalam subjek ini. Kami diberi dua pilihan tugasan, sama ada tugasan 1a ataupun tugasan 1b. Tugasan 1a adalah menulis jurnal mengenai "pengalaman peribadi". Jurnal ini perlu ditulis sebanyak 10 muka surat dan perlu dihantar pada minggu ke tujuh. Bagi tugasan 1b pula, kami dikehendaki menulis jurnal pembelajaran bagi lima minggu kuliah, setiap minggu mengikut tajuk-tajuk yang telah diajar oleh pensyarah pada minggu tersebut. Bilangan muka surat adalah dua muka surat dan jumlah patah perkataan adalah sebanyak seribu hingga ke seribu dua ratus patah perkataan. Aku telah memilih tugasan 1b kerana bagi aku tugasan ini lebih menyenangkan dan memudahkan.

Membuat keputusan. Perkataan ini kelihatan seperti mudah. Sebenarnya dalam membuat keputusan, kita terpaksa menanggung setiap kesan daripada apa yang telah kita putuskan. Sebelum ini saya hanya mengetahui bahawa membuat keputusan adalah satu tindakan yang perlu diambil oleh setiap orang walaupun ianya sukar untuk diputuskan. Membuat keputusan merupakan satu perkara yang amat ditakuti oleh saya kerana ianya amat sukar. Sebenarnya,  "membuat keputusan" adalah satu proses mengenalpasti masalah-masalah dan peluang-peluang yang ada, kemudiannya menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi tersebut. Contohnya, keputusan kita sama ada untuk menaiki kereta atau motosikal untuk ke tempat kerja adalah berdasarkan kepada beberapa proses mengenalpasti masalah seperti masalah akan terlewat sampai ke tempat kerja disebabkan oleh kesesakan lalu lintas, maka kita akan membuat keputusan berdasarkan pilihan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini.

Menurut Dr. Zamri, terdapat tiga situasi dalam membuat keputusan iaitu situasi mudah, situasi sederhana dan situasi sukar. Membuat keputusan pada situasi mudah tidak memberikan kesan yang besar dalam hidup kita. Contohnya, pemilihan warna pakaian untuk dipakai ke kelas bagi menghadiri kuliah. Setiap orang tidak terkecuali daripada membuat keputusan dalam situasi mudah, begitu juga saya. Pada suatu hari, saya perlu membuat keputusan sama ada ingin makan di restoran atau di kedai mamak sahaja. Setelah memikirkan segala kelebihan dan kekurangan makan di kedua-dua tempat, saya telah membuat keputusan untuk makan di kedai mamak sahaja. Pilihan yang dibuat oleh saya tidak memberikan kesan ke atas kehidupan saya.

Pada kuliah ini juga, kami telah diberitahu mengenai empat aspek yang menyebabkan keputusan yang diambil oleh seseorang itu baik. Pertama, keputusan yang diambil dibuat berdasarkan pengalaman. Kedua, berdasarkan kecekapan, ketiga berdasarkan kepada ketepatan maklumat yang diperoleh dan yang keempat berdasarkan analisa yang betul. Sebagai contohnya ialah, seorang pengurus syarikat yang ingin membuka cawangan baru, akan menggunakan pengalamannya dalam mentadbir syarikat untuk menubuhkan cawangan baru tersebut. Selain itu, beliau juga akan menggunakan kecekapannya dalam mengumpul maklumat dan memastikan maklumat tersebut adalah tepat dan beliau akan menganalisa maklumat yang telah diperoleh tersebut bagi memastikan keputusan yang diambil adalah betul.

Kami juga diberitahu oleh Dr Zamri bahawa kemahiran membuat keputusan dibahagikan kepada dua iaitu programmed dan non-programmed. Keputusan berbentuk programmed melibatkan situasi-situasi yang sering berlaku atau situasi yang terjadi secara berulang-ulang yang akhirnya satu polisi diwujudkan untuknya dan keputusan yang ingin diambil telah ditetapkan. Misalnya, amaran letupan gunung berapi akan mengakibatkan kerajaan menasihati rakyat supaya berjaga-jaga. Manakala, keputusan berbentuk non-programmed pula dibuat sebagai respon kepada situasi-situasi yang unik, sukar dan sebahagian besarnya tidak berstruktur dan mempunyai kesan penting untuk organisasi. Kebanyakkan keputusan berbentuk non-programmed melibatkan perancangan strategik kerana ketidakpastian adalah bagus dan keputusan adalah kompleks.

Satu perbezaan utama antara keputusan berbentuk programmed dan non-programmed adalah berkaitan dengan tahap kepastian dan ketidakpastian dalam membuat keputusan. Terdapat empat elemen penting dalam membuat keputusan iaitu kepastian, risiko, ketidakpastian dan kekaburan. Saya tertarik kepada elemen yang pertama iaitu kepastian. Sudah semestinya kita mahukan kepastian dalam membuat sesuatu keputusan. Namun, tidak semua keputusan yang diambil oleh kita mempunyai elemen ini. Elemen kepastian atau certainty ini bermaksud segala maklumat yang diperlukan oleh pembuat keputusan boleh didapati sepenuhnya. Pengalaman saya dalam membuat keputusan berbentuk ini dapat dilihat semasa saya ingin membeli laptop. Saya mencari segala maklumat mengenai laptop dari semua jenama dan telah memilih satu laptop daripada jenama Acer.

Tentu anda ingin mengetahui mengenai elemen membuat keputusan yang lain. Elemen kedua ialah risiko, atau risk yang bermaksud satu keputusan yang jelas matlamatnya dan penerangan yang sedia ada sangat baik tetapi masa depan dikaitkan dengan alternatif masing-masing. Contohnya, keputusan untuk menambahkan pelaburan dalam saham, matlamat kita untuk mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda dan kita mempunyai penerangan mengenainya, namun masa depan kita terpaksa dipertaruhkan dalam perlaburan saham tersebut. Elemen ketiga pula ialah, ketidakpastian atau uncertainty iaitu pembuat keputusan mengetahui matlamat yang ingin dicapai tetapi maklumat tentang alternatif dan peristiwa masa depan adalah tidak lengkap. Seperti saya, apabila tidak berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti setelah mendapat keputusan SPM, saya tetap mempunyai matlamat untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tetapi saya tidak mengetahui apakah alternatif lain yang boleh digunakan untuk memasuki universiti. Maka, saya perlu mencari maklumat mengenai alternatif lain bagi membolehkan saya mencapai matlamat saya. Elemen keempat ialah kekaburan atau ambiguity yang bermaksud matlamat yang ingin dicapai atau masalah yang ingin diselesaikan adalah tidak jelas, alternatif-alternatif adalah sukar untuk didefinisikan dan maklumat mengenai hasil tindak balas adalah tidak bernilai.

Kesimpulannya, daripada kuliah ini barulah saya mengetahui bahawa kita membuat keputusan berdasarkan segala maklumat yang ada pada kita bukannya sekadar membuat keputusan bagi memperoleh penyelesaiannya sahaja. Oleh itu, kita perlu mencari alternatif mengenai sesuatu masalah bagi membantu kita menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi. Kita juga perlulah mencari alternatif yang benar-benar dapat membantu kita menyelesaikan permasalahan yang sedang kita hadapi. Pada minggu hadapan kita akan mempelajari mengenai model-model yang terdapat di dalam kursus membuat keputusan ini. Model-model ini bukannya bermaksud individu tetapi pendekatan bagi membantu kita menyelesaikan masalah kita. Antara model yang akan kita pelajari ialah Model Klasik, Model Pentadbiran dan Model Politik. Saya semakin tertarik untuk mengikuti kuliah kemahiran membuat keputusan ini walaupun ramai pelajar lain telah menarik diri daripada mengikuti kuliah ini.


No comments:

Post a Comment