Tuesday, September 20, 2011

A131944 MUHAMMAD AMIRULL AFIQQ TAJUK 1 BINGKISAN 5 : MATLAMAT,NILAI,DAN KEPERLUAN

GAZA YANG MENANTI
Menyanyi lagu kedamaian,
Berhujah tentang keamanan,
Merencana tinta kemakmuran,
Yang jauh amat dari pandang,
Antara kemelut dunia yang membebani,
Tak pernah menjanjikan citra itu akan kembali,
Menjadi rona di bumi ini.

Gaza..
Engkau yang meraung ketika guruh senja,
Engkau yang merintih ketika mentari menyapa,
Belum pernah suaramu menjengah ke benak dunia yang alpa,
Kancah gusar dan bimbang,
Yang sesat kiblatnya dari teguh amanat dan mandat,
Mungkinkah akan menitis wangi embun esok hari?
Atau bergemeretap lagi darah dan nanah satria peribumi?

Gaza..
Saudaramu di sini hanya menabur benci di ladang hati,
Sekadar berjanji akan melakukan itu dan ini,
Namun serakah tak mengerti nanti,
Dada telanjang pejuang terus ditebuk peluru besi,
Bayi muda tak mengerti apa-apa terus meraung mencari abi dan umi,
Si bongkok bertasbih menunggu dipilih ajal atau mati,
Janji itu merekah di hujung senjata api,
Yang bertutur dengan bahasa keganasan,
Mencantas pucuk kemanusiaan,
Tangan dijabat hanya sandiwara rundingan sesia,
Lakonan pepura dipentaskan buat tatapan mata dunia,
Bukan damai dicari,
Bukan aman diimpi,
Maka punahranahlah sebuah taman suci murni,
Dan tumbuhlah derita sengsara tiada bergalang ganti.

Gaza..
Pabila kami berani mengakui,
Kemandulan semangat jihad di lubuk diri,
Kami akan kembali ke gunung dan lurah,
Ke laut nan merah,
Ke lorong bertanah,
Dan akan kami pimpin lesu tanganmu,

Sengaja saya lampirkan bersama-sama catatan ini, sebuah puisi yang saya nukilkan bagi menghayati perjuangan para satria pembela nasib bumi Palestin. Keseluruhan puisi di atas menceritakan betapa dunia Islam sebenarnya belum bersungguh-sungguh menjana usaha bagi membebaskan bumi suci Palestin daripada cengkaman Israel laknatullah. Sebuah harapan diselitkan pada penghujung puisi iaitu supaya negara-negara Islam membulatkan tekad bagi mencapai matlamat yang diperjuangkan oleh saudara-saudara kita di sana. Apakah matlamat yang diperjuangkan? Sudah tentu bagi mengembalikan keamanan di timur tengah, mengembalikan senyum tawa anak-anak kecil yang kini meronta, mengembalikan gurau senda sang suami dengan isterinya yang kini terpisah antara rumah dan pusara, mengembalikan maruah sebuah negara Islam yang dirobek penceroboh durjana. Matlamatnya sudah pasti, namun objektif perjuangan masih samar-samar dan belum dirancang dengan teliti.

Merujuk kepada contoh krisis di Timur Tengah ini, pastinya kita sudah mendapat gambaran secara umum mengenai konsep matlamat yang menjadi intipati bingkisan kali ini. Bolehlah kita simpulkan bahawa matlamat merujuk kepada kesan akhir yang ingin kita capai dengan melaksanakan perancangan yang proaktif. Matlamat tidak boleh dipisahkan daripada 'kekasih awal dan akhirnya' yakni objektif, kerana tanpa objektif, matlamat yang ditetapkan akan berkekalan lesu tanpa pengisian yang sepatutnya. Seandainya matlamat dirujuk sebagai sebuah destinasi, maka objektif ialah pelbagai jenis kenderaan yang boleh digunakan untuk menuju ke arah destinasi itu. Pendek kata, objektif berkait rapat dengan kata soal 'bagaimana'. Selain daripada contoh konflik Timur Tengah, kita juga boleh merujuk kepada contoh matlamat yang digariskan oleh kerajaan Malaysia sendiri iaitu menjadikan Malaysia sebuah Negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Pelbagai objektif telah digariskan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Negara seperti liberalisasi ekonomi melalui pengenalam Model Baru Ekonomi, memperkenalkan enam keberhasilan menerusi Program Transformasi Kerajaan, dan tidak ketinggalan Program Transformasi Ekonomi. Melalui pelbagai perbincangan dan perdebatan, kerajaan telah meniliti potensi ketiga-tiga program ini bagi memangkin pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar bahawa okjektif yang salah akan membantutkan perjalanan kita ke destinasi yang ingin dituju. Penetapan objektif yang salah bermakna kita akan memberi tumpuan kepada masalah yang tidak selari dengan matlamat. Mengambil contoh Program Transformasi Kerajaan sebagai satu objektif yang tepat dan pragmatik bagi 'mencabut duri dalam daging' yang memperlahankan percambahan ekonomi negara, kerajaan melalui program ini telah menggariskan enam bidang keberhasilan bagi memantapkan gerak kerja kerajaan dan agensi-agensi di bawah kerajaan. Program ini secara implisitnya turut memerangi amalan rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan dan penjawat awam sendiri.

Selain konsep matlamat, kuliah kali ini juga membincangkan konsep keperluan. Menurut Maslow, keperluan manusia boleh diklasifikasikan kepada lima kategori; keperluan fisiologikal, keperluan dalam aspek keselamatan, keperluan sosial, keperluan estim dan keperluan penghargaan kendiri. Menurut ajaran Islam, umatnya disarankan untuk hidup dalam keadaan penuh kesederhanaan dan mengelak pembaziran. Sewaktu kecil dulu, setiap kali menemani ibu ke pasaraya atau pusat membeli belah, saya akan berpesan kepadanya, "Jangan beli banyak-banyak sangat, Ustaz kata, membazir itu amalan syaitan". Ibu akan menjawab yang segala perbelanjaannya adalah merangkumi keperluan keluarga dan bukanlah berniat untuk membazir. Namun adakah Islam hanya membenarkan perbelanjaan mengikut keperluan sahaja, tanpa menitikberatkan kehendak manusia? Adakah setiap seorang daripada kita hanya dibenarkan memiliki kereta Perodua Kancil dan dilarang membeli Toyota Camry? Persoalan ini diselesaikan melalui buah fikiran Dr Yusof Al-Qardhawi yang mencerakinkan keperluan manusia kepada tiga kategorii iaitu al-dharuriyyat : perkara yang sangat diperlukan untuk kehidupan, al-hajiyyat : perkara yang mengurangkan kesukaran kehidupan, dan  al-tahsinat : perkara yang menambah keselesaan hidup. Menurut al-Qardhawi lagi, al-dharuriyyat adalah keperluan yang perlu diberi prioriti berbanding kategori-kategori yang lain. Islam membenarkan umatnya berbelanja bagi memenuhi keperluan al-hajiyyat dan al-tahsinat, asalkan perbelanjaan tersebut selari dengan kemampuan dan tidak membebankankan mereka. Mengambil contoh sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan lima orang anak memerlukan kenderaan yang lebih luas daripada Perodua Kancil yang dimiliki oleh mereka sekarang bagi menambah keselesaan dalam perjalanan. Islam tidak menghalang mereka untuk berbelanja bagi mendapatkan sebuah kereta yang lebih luas dan selesa, namun perbelanjaan tersebut haruslah tidak melebihi kemampuan mereka.

Seterusnya, kita beralih kepada konsep nilai. nilai yang dipegang oleh masyarakat barat adalah berbeza daripada nilai pegangan masyarakat timur kerana konsep nilai ini berbeza mengikut cara hidup, persekitaran, budaya dan agama. Memakai bikini adalah bertentangan dengan budaya ketimuran tetapi berpakaian sedemikian dan berjemur di persisiran pantai adalah menjadi tradisi musim panas di negara-negara barat. Nilai merupakan pegangan atau kepercayaan berterusan mengenai kaedah dan status tindakan yang sangat mempengaruhi proses membuat keputusan. Lazimnya, keputusan seseorang mencerminkan nilai yang menjadi pegangan hidupnya. Saya berasa terpanggil untuk melemparkan rasa runsing terhadap status quo nilai dalam kehidupan masyarakat global. Sudahlah budaya perlumbaan mengejar taraf hidup mewah menjadi penghakis nilai murni dalam masyarakat, kita juga dapat melihat fenomena pengahapusan nilai oleh nilai. Krisis ini dirujuk kepada nilai kebebasan yang diangkat sebegitu tinggi oleh golongan berhaluan kiri yang memperjuangkan hak asasi yang dilihat menyongsang semangat hak asasi yang sebenar. Sesetengah kumpulan memperjuangkan hak untuk menghisap ganja, hak untuk berkahwin dengan pasangan sejenis, dan pelbagai hak kebebasan lain yang disandarkan kepada perjuangan hak asasi. Perjuangan sebegini sedikit sebanyak menggugah nilai pegangan masyarakat dan yang lebih merisaukan, perubahan nilai ini akan mempengaruhi proses pembuatan keputusan oleh ahli masyarakat sendiri sehingga nilai moral dipinggirkan terus daripada kehidupan komuniti.

Sebagai akhirul kalam, ketiga-tiga konsep yang dibincangkan hari ini perlu diadun dengan sebati bagi mendapatkan resipi pembuatan keputusan yang boleh menghasilkan juadah pulangan yang enak dan lazat. Penetapan matlamat oleh seseorang adalah bersangkutan dengan nilai yang dipegang olehnya. Olah yang demikian, nilai yang salah akan membawa kita kepada matlamat yang salah, seterusnya objektif yang salah. Penetapan matlamat juga perlu mengambil kira keperluan diri dan masyarakat, barulah keputusan yang akan dibuat dapat memberi maslahat kepada semua pihak. 

No comments:

Post a Comment