Saturday, January 29, 2011

A 133582 NOR AMALIZA BINTI MOHD NORDIN TAJUK 2 MODEL K2P

Pada sesi kedua ini aku telah diajar mengenai model-model yang terdapat dalam proses membuat keputusan. Antara model yang dipelajari oleh aku ialah model klasik, model pentadbiran dan model politik. Aku amat tertarik kepada model politik kerana model ini banyak digunakan dalam kehidupan seharian kita sama ada kita menyedarinya ataupun tidak.

Model disini bukanlah bermaksud orang yang dijadikan sebagai rujukan dalam membuat keputusan sebaliknya satu garis panduan yang membantu kita dalam membuat sesuatu keputusan. Antara fungsi model-model ini ialah untuk kita memahami sesuatu perkara dan juga untuk menerangkan sesuatu perkara. Dalam usaha untuk memahami model ini, kita perlulah memahami kerasionalan(rationality), kerasionalan terikat(bounded rationality) dan pendapat Herbert A. Simon.

Model klasik adalah pembuatan keputusan berdasarkan kepada andaian-andaian ekonomi. Selain itu, model ini dianggap sebagai "normatif", yang mambawa maksud bagaimana pembuat keputusan sepatutnya membuat keputusan. Ini bermakna, kita sudah ada satu garis panduan dalam membuat keputusan. Model pentadbiran pula adalah berdasarkan hasil kerja Herbert A. Simon. Beliau telah mencadangkan dua konsep dalam model pentadbiran iaitu kerasionalan terikat(bounded rationality) dan satisficing. Kerasionalan terikat bermaksud seseorang itu mempunyai had-had atau sempadan dalam membuat keputusan, yang bermaksud pembuat keputusan itu terikat dengan pelbagai bentuk rintangan, had dalam memproses maklumat dan juga hanya menggunakan maklumat atau panduan umum dalam membuat keputusan. Pengalaman saya semasa membuat keputusan sebegini dapat dilihat semasa saya memilih subjek untuk diikuti semasa di tingkatan 6, saya hanya membuat keputusan berdasarkan kepada gerak hati saya sahaja tanpa mempunyai maklumat mengenai subjek tersebut serta saya tidak mempunyai masa untuk mencari maklumat mengenai subjek tersebut. Akibatnya, saya telah membuat keputusan yang berat sebelah atau bias kerana hanya memilih subjek kegemaran saya sahaja.

Satisficing pula wujud dalam keadaan dimana kita tidak mempunyai masa atau keupayaan kognitif untuk memproses maklumat yang lengkap tentang sesuatu keputusan yang kompleks. Satisficing ini bermaksud pembuat keputusan akan memilih alternatif penyelesaian yang pertama yang memenuhi kriteria minimum sesuatu keputusan. Misalnya, saya hanya memilih sebuah laptop  tanpa mengambil kira mengenai jenama, kualiti laptop tersebut dan sebagainya hanya disebabkan  kekurangan maklumat dan tidak mempunyai masa untuk membuat penilaian terhadap kesemua jenis laptop yang terdapat di pasaran.

Model yang amat menarik minat saya sepanjang sesi pembelajaran ialah model politik. Model ini seakan-akan menyerupai persekitaran sebenar dimana kebanyakkan pembuatan keputusan beroperasi. Model ini amat berguna dalam membuat keputusan yang tidak dirancang. Kebanyakan pembuat keputusan akan membuat pakatan dengan sesiapa yang mempunyai pendirian yang sama dengan mereka agar matlamat mereka dapat dipenuhi. Kita selalu melihat di dalam berita terdapat sekumpulan pekerja mengadakan mogok dalam usaha membantah atau meminta sesuatu daripada pihak pengurusan. Ini merupakan salah satu contoh dalam model politik iaitu pekerja-pekerja ini akan mengumpulkan sebanyak mungkin orang dalam usaha untuk menjalankan mogok tersebut. Ini bertujuan untuk memastikan matlamat mereka akan dipenuhi oleh pihak pengurusan tempat mereka bekerja.

Dimensi utama bagi ketiga-tiga model ini dapat dilihat dalam jadual di bawah:

Model Klasik

Model Pentadbiran

Model Politik

Masalah dan matlamat jelas.

Masalah dan matlamat yang samar

Majmuk, percanggahan matlamat.

Keadaan yang penuh kepastian.

Keadaan ketidakpastian.

Keadaan yang tidak pasti dan kekaburan.

Maklumat penuh tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Maklumat terhad tentang alternatif-alternatif dan hasil daripada alternatif tersebut.

Pendapat tidak konsisten, maklumat adalah kabur.

Pilihan rasional secara individu untuk memaksimumkan hasil.

Pemilihan berdasarkan memadai/ pemuasan untuk mengatasi masalah dengan menggunakan gerak hati.

Rundingan dan perbincangan antara ahli-ahli gabungan.

 

Saya juga amat tertarik kepada model tong sampah. Model ini menerangkan mengenai beberapa persoalan iaitu mengapa jawapan dicari untuk persoalan yang tidak wujud, mengapa keputusan yang diambil tidak membantu dalam menyelesaikan masalah dan mengapa hanya sesetengah persoalan sahaja yang terjawab. Ini mengingatkan saya kapada pengalaman saya dahulu. Saya telah mencari pelbagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi, namun segala alternatif tersebut tidak banyak membantu saya dalam menyelesaikan masalah saya. Setiap keputusan yang diambil semakin menambahkan masalah yang saya hadapi, dan akhirnya saya berhenti daripada terus membuat keputusan yang semakin membebankan saya.

Kita juga perlu mengetahui mengenai langkah-langkah yang di ambil semasa kita membuat keputusan. Terdapat enam langkah dalam proses membuat keputusan yang efektif iaitu pertama mengenalpasti keperluan dalam keputusan, kedua diagnosis dan analisis tentang penyebab dan punca masalah yang dihadapi, ketiga pembuatan alternatif iaitu kita mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya memilih alternatif yang ingin digunakan bagi menyelesaikan masalah tersebut. Langkah kelima ialah pelaksanaan alternatif yang telah dipilih dan langkah terakhir ialah penilaian dan maklum balas yang diperoleh setelah kesemua langkah ini dilaksanakan. Setiap daripada langkah ini memainkan peranan penting dalam membuat keputusan. Oleh itu, kita perlu mengikuti kesemua langkah ini bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar tepat dan betul(Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor).In R. L. Daft, New era of management(2ed.).Mason, Ohio: Thomson.

Kesedaran mengenai sesuatu masalah adalah langkah pertama dalam urutan membuat keputusan dan ianya memerlukan pengawasan persekitaran dalaman dan juga luaran. Mengenal pasti keperluan dalam keputusan adalah sulit kerana ianya sering dikaitkan dengan menyambungkan cebisan-cebisan maklumat dengan cara yang baru dan berbeza (Daft, R. L. 2008. Managerial decision making(Terj. Ahmad Zamri Mansor). In R. L. Daft, New era of management(2ed.). Mason, Ohio: Thomson.

 Setelah satu masalah mendapat perhatian, pemahaman mengenai situasi itu perlu diperhalusi. Diagnosis adalah langkah dalam proses membuat keputusan dimana kita menganalisis faktor-faktor penyebab yang tersembunyi yang dikaitkan dengan situasi membuat keputusan. Kita membuat kesilapan sekiranya kita terus pergi ke langkah menjana alternatif-alternatif tanpa meneroka terlebih dahulu punca masalah yang dihadapi dengan lebih mendalam. Kepner dan Tregoe, yang menjalankan kajian secara meluas mengenai pembuatan keputusan oleh seseorang pengurus mencadangkan pengurus terbabit menanyakan beberapa siri soalan bagi menentukan penyebab dan punca-punca tersembunyi bagi sesuatu masalah yang dihadapi.

Kesimpulannya, dalam membuat keputusan ini banyak perkara yang perlu dipertimbangkan. Setiap keputusan yang diambil mempunyai kesan terhadap hidup kita sama ada untuk jangka masa panjang ataupun jangka masa pendek. Oleh itu, kita haruslah berhati-hati dengan segala tindakan kita dalam membuat keputusan. Bak kata pepatah "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna". Jadi kita sewajarnya berfikir banyak kali dan meminta pendapat daripada orang lain dalam membuat sesuatu keputusan. Kita juga perlulah mengikuti enam langkah penyelesaian masalah seperti yang telah saya nyatakan agar kita dapat membuat keputusan dengan lebih efektif.

 

 


No comments:

Post a Comment