Sunday, February 13, 2011

A131944 MUHAMMAD AMIRULL AFIQQ BIN MOHAMAD LOKMAN TAJUK 3 BINGKISAN 3 : PERSONALITI

Kata orang, "Don't judge a book by its cover". Mungkin pernyataan ini ada kebenarannya. Hal ini demikian kerana personaliti hanya memberi gambaran luaran yang tidak sesuai untuk kita jadikan kayu ukur bagi menilai sudut dalaman seseorang individu. Namun begitu, dalam keadaan-keadaan tertentu, individu-individu tertentu tidak boleh tidak, mesti meletakkan perhatian istimewa kepada personaliti mereka bagi menjaga reputasi diri. Contohnya, seorang peguam perlu menitikberatkan imej dan personaliti mereka di hadapan umum bagi memelihara reputasi profesion dan firma yang diwakili.


Sebenarnya, konsep personaliti merangkumi sisi peribadi seseorang secara lebih meluas. Huraian dan contoh yang diberikan di atas hanyalah mencakupi pemahaman klise masyarakat tentang konsep personaliti. Dalam pengetian personality yang sebnar, ungkapan "Don't judge a book by its cover" lebih wajar diterima sebagai suatu saranan untuk tidak terlalu cepat membuat kesimpulan terhadap personaliti seseorang kerana pada konsepnya, ujian terhadap personaliti merupakan suatu proses yang kompleks dan berstruktur. Sepanjang catatan ini, kita akan sama-sama meninjau pengertian sebenar perkataan 'personaliti' setrusnya membincangkan ujian yang tepat bagi membezakan personaliti seseorang individu dengan individu lain.

 

Perkataan personaliti berasal daripada Bahasa Latin iaitu persona yang bermaksud topeng muka. Topeng muka ini digunakan oleh seniman dan seniwati Yunani sewaktu pementasan lakonan. Topeng yang dikenakan adalah bersesuaian dengan watak mereka yang bawakan. Menelusuri pula catatan definisi yang telah diberikan oleh para intelek bidang psikologi seperti Kegen J, Sagen J dan Hans Eysenck, satu kesimpulan dapat kita hasilkan iaitu personaliti merupakan organisasi watak, perangai, intelek, bentuk badan yang stabil dan konsisten. Organisasi ini bertindak menentukan penyesuaiannya yang unik terhadap persekitarannya. Dalam bahasa yang lebih ringkas dan mudah, personaliti boleh dirujuk kepada cara pembawakan diri seseorang individu. Contohnya, Raihan sering tersenyum dan gemar berjenaka dengan teman-temannya, jadi kita menganggap Raihan mempunyai personaliti yang gembira dan mudah mesra. Ayuuni pula jarang bertegur sapa dengan rakan-rakan apabila bertembung dan memilih untuk tidak banyak bercakap di dalam kelas. Dia juga sukar memulakan perbualan dalam sesuatu kelompok. Maka, lazimnya kita akan menganggap bahawa personaliti Ayuuni adalah bertentangan dengan Raihan iaitu pendiam dan tidak mudah mesra.

Menjadi kelaziman dunia, mengkelaskan orang mengikut kategori-kategori tertentu. Ada yang miskin, ada yang kaya, ada yang putih, ada yang hitam, ada yang berasal dari Amerika Utara, ada yang berasal dari Amerika Selatan. Dalam sesetengah keadaan, pengkelasan sebegini bertujuan mendiskriminasi kumpulan-kumpulan tertentu. Mengambil contoh perbezaan warna kulit di Amerika Syarikat suatu masa dahulu yang menjadi asas kepada pelbagai dasar dan tindakan diskriminasi dalam kalangan masyarakat. Orang kulit putih mendapat layanan istimewa berbanding orang kulit hitam yang sering kali diberi layanan keji dan dianggap sebagai pendatang yang tidak diundang. Namun dalam konteks perbincangan kita bagi tajuk personaliti ini, pengkelasan yang dilakukan adalah bertujuan membantu individu untuk lebih mengenali diri masing-masing. Kalau di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dahulu, guru-guru pembimbing seringkali mengingatkan kami untuk memilih jurusan atau kerjaya yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing. Hatta sebelum memilih pengkhususan aliran bagi peringkat menengah atas sekalipun, kami disarankan menjalankan ujian personaliti terlebih dahulu. Ujian yang dikatakan tidaklah semudah contoh yang saya berikan mengenai Raihan dan Ayuuni tadi, sebaliknya ujian ini bersifat lebih kompleks dan merangkumi segenap aspek perlakuan manusia.

 

MBTI atau Myers-Briggs Type Indicator ialah salah satu ujian personaliti yang diterima dan digunapakai di seluruh dunia. Indikator yang membuat pengklasifikasian berdasarkan respon kepada 126 soalan ini telah dipelopor oleh Katherine Briggs dengan merujuk kepada teori yang dikemukakan oleh Carl G. Jung. Mula diusahakan oleh Katherine pada 1920 an, MBTI adalah hasil adunan teori pengklasifikasian Katherine sendiri yang dikatakan selari dengan idea Jung. Walaupun bukan seorang pakar dalam bidang ini, kesinambungan kajiannya dengan buah fikiran Jung telah mendorong Katherine untuk terus berusaha. Semangat si ibu ini telah menarik minat anaknya, Isabel, yang telah memperkenalkan satu siri persoalan bagi mengukur perbezaan personaliti pada tahun 1942. Siri soalan inilah membentuk MBTI yang sejak 1975 sehingga hari ini digunapakai termasuk dalam bidang professional. Menguji personaliti berdasarkan empat aspek iaitu jenis interaksi sosial, keutamaan dalam mengumpul data, keutamaan dalam mebuat keputusan dan cara pembuatan keputusan, MBTI membezakan personaliti mengikut 16 kategori. Setiap satu aspek ujian menyumbang kepada dua jenis personaliti yang berbeza antara satu sama lain. Sebagai contoh, dalam aspek jenis interaksi sosial, personaliti terbahagi kepada dua iaitu 'extrovert' dan 'introvert'. Individu yang digolongkan dalam kumpulan extrovert biasanya menonjolkan ciri-ciri seperti relaks, gemar kepada keseronokan, suka bercampur gaul, aktif, inovatif atau gemar kepada perubahan, gemar akan aktiviti-aktiviti luar, mudah bercakap dan berkomunikasi, cepat bertindak balas, tidak mudah bimbang dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Individu yang disifatkan sebagai introvert pula menonjolkan ciri-ciri seperti pasif, gemar berseorangan, pemalu, sensitif, cermat reflektif atau sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum menjalankan sesuatu, boleh dipercayai, tenang, tingkah laku yang terkawal, dan kurang bersedia untuk menanggung risiko. Bergerak kepada aspek kedua iaitu keutamaan yang mengumpul data. Di bawah aspek ini, personaliti juga dibahagikan kepada dua jenis iaitu 'sensing' dan 'intuitive'. Individu yang dikelaskan dalam jenis 'sensing' biasanya fokus untuk mencapai suatu matlamat yang boleh dilihat atau dirasa dengan jelas. Mereka cenderung untuk menurut arahan dengan tepat dan terpeinci dan lebih bermotivasi seandainya tindakan yang diambil itu berkaitan dengan maslahat yang diperoleh secara terus. Golongan ini mengumpul data dengan bertumpu kepada perkara-perkara yang boleh dirasakan melalui lima pancaindera : melihat, mendengar, menyentuh, menghidu dan merasa. Berbanding dengan golongan 'sensing', golongan 'intuitive' lebih fokus untuk mencapai matlamat konseptual. Mereka cenderung untuk mengikuti aturan yang umum dan lebih bermotivasi sendainya tindakan yang diambil adalah berkait rapat dengan sebarang kemungkinan pada masa akan datang. Golongan ini memperoleh data melalui pemarhatian mereka terhadap perkara yang mungkin digambarkan sebagai pancaindera keenam, yang merujuk kepada  makna, kesimpulan, firasat, wawasan, dan hubungan. Pemerhatian seperti ini sering dikaitkan dengan pemikiran di luar kotak maklumat. Begitulah juga dengan aspek ketiga dan keempat. Keempat –empat aspek ini masing-masing menghasilkan dua jenis personaliti yang akan digabungkan kesemuanya membentuk 16 kategori personaliti yang terdiri daripada empat dikotomi hasil gabungan daripada empat aspek tadi. Contohnya, bagi aspek pertama, saya dinilai sebagai berpersonaliti 'extrovert' dan 'intuitive' pula bagi aspek kedua. Ditambah dengan dua lagi dikotomi dalam penilaian aspek ketiga dan keempat, lengkaplah sudah penilaian personaliti saya secara keseluruhannya.

 

Kesimpulannya, setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza. Namun perbezaan tersebut bukanlah suatu asas bagi kita mendiskriminasi atau menjauhi golongan-golongan tertentu, sebaliknya analisis perbezaan itu membantu kita untuk mengenali diri kita dengan lebih baik. Pelbagai masalah boleh timbul seandainya kita tidak mengenali seseorang itu berdasarkan personalitinya. Mengambil situasi rumah tangga, sepasang suami isteri yang berbeza personaliti mereka akan seringkali menghadapi percanggahan pendapat dalam aspek-aspek tertentu. Seandainya perbezaan personaliti ini dianggap remeh dalam urusan rumah tangga, sudah pasti segala percanggahan yang timbul akan berakhir dengan pergaduhan. Dalam situasi ini, suka saya memetik bait-bait lirik lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan;

 

"Tak perlulah kita mencuba lagi,

  Betulkan kesilapan perhubungan ini,

  Bila setiap perbincangan menjadi perbalahan,

  Manakah agaknya cinta kasih."

 

Benar, percanggahan mungkin menyebabkan pergaduhan, dan pergaduhan mungkin mengakibatkan perpisahan. Oleh sebab itu, konsep perbezaan personaliti perlulah difahami oleh kedua-dua pihak apabila timbul percanggahan, kedua-duanya boleh bertindak sesuai dengan personaliti pasangan masing-masing.

 


No comments:

Post a Comment