Saturday, February 12, 2011

A131944 MUHAMMAD AMIRULL AFIQQ TAJUK 2 BINGKISAN KEDUA : ALAT KOGNITIF

Hari ini kami telah didedahkan dengan sebuah lagi konsep yang mendasari proses membuat keputusan. Dalam sebuah projek pertukangan, kita memerlukan alat-alat seperti gergaji, tukul, sepana, pemutar skru dan alat-alat lain bagi memastikan projek tersebut dapat disiapkan pada masa yang sepatutnya di samping membuahkan hasil yang sempurna sebagaimana yang diinginkan. Namun begitu, seandainya kita tidak mempunyai kepakaran untuk mengendalikan alat-alat ini dengan baik, mungkin kita akan menghadapi masalah untuk menyiapkan projek tersebut. Konsep yang sama terpakai dalam proses membuat keputusan. Proses ini didasari oleh tiga alat kognitif yang membolehkan kita melihat, memikirkan, mentafsir dan akhirnya menyelesaikan masalah

dengan membuat keputusan yang paling bijak. Alat-alat kognitif yang dimaksudkan adalah persepsi, ingatan dan memori.

 

Memulakan pengkuliahan untuk tajuk alat kognitif, Encik Zamri menayangkan beberapa gambar untuk menguji kepekaan kami terhadap keganjilan di sebalik gambar-gambar tersebut. Menurut beliau, dalam proses membuat keputusan, seseorang perlu mampu menilai keserupaan dan kelainan yang terdapat pada masalah yang dihadapi berbanding masalah-masalah yang pernah dilalui sebelum ini. Kemampuan ini sedikit sebanyak dapat membantu kita bertindak dalam keadaan lebih tenang apabila keadaan mendesak. Dalam Islam, kita diseru untuk berusaha memastikan perjalanan kita hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam. Seruan ini secara tidak langsung mencadangkan supaya kita belajar menganalisis konflik-konflik yang pernah dilalui agar kita akan lebih bersedia menghadapi cabaran yang serupa atau hampir serupa pada hari-hari muka. Bertitik tolak dari situ, apabila berdepan dengan sebarang krisis, kita hendaklah mampu memecahkan krisis terbabit kepada komponen-komponen kecil supaya proses membuat keputusan akan menjadi lebih teratur dan menyeluruh.

 

Berbalik kepada alat kognitif yang diceritakan tadi, pertamanya kita meninjau konsep persepsi. Dalam notanya, Encik Zamri memetik definisi persepsi oleh Stephen Pepper. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih luas mengenai konsep ini, saya dan rakan-rakan telah menggunakan enjin pencarian google untuk meninjau pendapat para cendekiawan lain mengenai pengertian persepsi. Persepsi,  menurut  Rakhmat  Jalaludin, adalah pengalaman  tentang objek,  peristiwa,  atau hubungan-hubungan  yang  diperoleh dengan  menyimpulkan informasi dan mentafsirkan sesuatu pesanan yang diterima. Menurut  Ruch,  persepsi  adalah  suatu proses menyusun atur  petunjuk-petunjuk  pancaindera  (sensory)  dan pengalaman  masa  lampau  yang  relevan untuk memberikan kepada kita gambaran yang jelas dan bermakna pada suatu situasi  tertentu.  Senada dengan buah fikiran  tersebut, Atkinson dan Hilgard mengemukakan idea bahawa persepsi  adalah proses  metafsirkan  dan  mengorganisasikan pola  stimulus yang diterima daripada persekitaran kita. Gibson dan  Donely menjelaskan dengan lebih ringkas bahawa persepsi adalah proses pemberian erti  terhadap  persekitara oleh seorang individu. Merujuk kepada aneka definisi yang dicadangkan itu, kami membuat kesimpulan bahawa persepsi merupakan cara kita melihat dunia di luar diri kita dari kaca mata sendiri. Uniknya, persepsi yang dimiliki oleh setiap individu adalah berlainan anatara satu sama lain berikutan pengamalan kepercayaan dan agama mahupun sistem pemikiran yang berbeza. Selain itu, gaya hidup yang berbeza juga menyumbang kepada perbezaan persepsi antara individu. Sebagai contoh, persepsi Karim yang tinggal di Kelantan dan Oozil yang tinggal di Jerman terhadap seorang wanita yang berbikini mungkin berbeza kerana berbikini merupakan amalan biasa masyarakat barat tetapi cukup asing bagi budaya timur. Perbezaan ini berkait rapat dengan teori batasan persepsi yang menyatakan bahawa ruang lingkup persepsi terhad terhadap ruangan fizikal dan keupayaan berfikir. Tambahan pula, pentafsiran mengenai subjek yang dipersepsikan hanya boleh dibuat jika ianya berkait dengan pengetahuan dan pengalaman relevan sedia ada. Mengambil contoh yang lebih global dan dekat di hati kita semua, setelah tragedi berdarah 11 September merakamkan puluhan ribu jiwa yang terkorban, masyarakat barat secara umumnya mempunyai persepsi negative terhadap umat Islam dan mengaitkan mereka dengan keganasan dan pemberontakan. Persepsi ini timbul akibat kekurangan maklumat dan pengetahuan mengenai ajaran Islam yang sebenar yang pada dasarnya memupuk kasih sayang dan mendaulatkan keamanan. Persepsi sebegini sebaliknya hanya disandsarkan kepada peristiwa pahit yang mengaitkan pejuang kebebasan dalam kejadian rampasan pesawat itu.

 

Satu lagi contoh yang menarik minat saya ialah sebuah kisah jenaka yang diselitkan oleh Encik Zamri dalam nota beliau yang menceritakan perihal lima orang buta cuba mengenal sifat-sifat seekor gajah. Kelima-lima orang buta itu memberi gambaran yang berbeza tentang seekor gajah. Kata yang pertama, gajah itu keras, panjang dan melengkung. Si buta yang kedua pula menyatakan bahawa gajah itu lebar dan nipis. Dan begitulah juga dengan tiga lagi orang buta, semuanya melahirkan deskripsi yang berbeza bagi menggambarkan ciri-ciri seekor gajah. Hal ini demikian kerana dek tidak mampu melihat, mereka bertindak untuk menggunakan deria sentuhan bagi mengesan ciri-ciri gajah tersebut. Kelima-lima mereka menyentuh gajah terbabit pada bahagian yang berlainan. Si buta yang pertama menyentuh gading gajah, yang kedua pula menyentuh telinganya, dan begitulah juga tiga yang lain turut menyentuh bahagian yang berbeza. Dari situ, timbullah pelbagai gambaran yang bercanggah antara satu sama lain. Begitulah juga ceritanya dalam dunia realiti. Seperti si buta tadi, kita juga mungkin tidak mampu melahirkan persepsi yang tepat terhadap suatu situasi yang menjangkaui skop pemikiran dan pengetahuan kita.

Seterusnya, kita bergerak kepada satu lagi alat kognitif iaitu memori @ ingatan. Memori terbahagi kepada dua bentuk dominan iaitu memori jangka masa panjang dan memori jangka masa pendek. Memori jangka masa panjang lazimnya dikaitkan dengan kepentingan memori terbabit dalam kehidupan seharian. Kebiasaannya, perkara yang penting bagi kita lebih mudah untuk melekat dalam memori jangka masa panjang. Mungkin kerana merujuk kepada pemahaman inilah, ramai wanita di luar sana yang naik minyak apabila teruna pujaan gagal mengingati tarikh-tarikh penting seperti hari lahir dan ulangtahun perhubungan mereka. Bagi mereka, tarikh-tarikh tersebut seolah-olah tidak tercatat dalam diari kehidupan pasangan mereka sebagai suatu perkara penting yang perlu diberikan prioriti.

 

Turut menunjangi proses membuat keputusan, alat kognitif ketiga ialah perhatian. Dalam ruang lingkup kehidupan sebagai seorang pelajar, perhatian menjadi kunci terpenting bagi menyelongkar hikmah pembelajaran. Jawapan klise seseorang pelajar apabila ditanya mengenai rahsia kejayaannya dalam pelajaran ialah memberi sepenuh tumpuan dan perhatian semasa sesi pengajaran oleh guru, tutor atau pensyarah. Jelas, kita semua sedar akan betapa perhatian merupakan jawapan paling tepat kepada seluruh usaha kita untuk menggapai keputusan terbaik dalam pengajian, namun mengapa seringkali kita memilih untuk tidak memberi perhatian apabila disarankan berbuat demikian pada masa-masa tertentu? Tidak perlu pergi jauh untuk mengilham gambaran situasi ini, sekadar melihat gelagat rakan-rakan di sekeliling semasa sesi pengkuliahan sudah mencukupi. Kalau semasa di sekolah menengah dahulu, tabiat tidur sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi kebiasaan para pelajar hampir setiap hari. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa mereka gagal memberi tumpuan seperti yang diharapkan. Apabila melangkahkan kaki ke alma mater tertiari ini, tampaknya budayanya telah berubah. Masih ada pelajar yang acuh tak acuh dalam menimba isi pengkuliahan, namun nyata globalisasi telah mentransformasikan budaya ini. Kalau dahulu, melelapkan mata menjadi pilihan, kini Facebook, Twitter dan Blackberry pula mengambil giliran. Perhatian terhadap pembelajaran tetap dipinggirkan, walau cara 'diskriminasi' ini dilakukan telah berlainan. Saya akui, kadangkala saya juga gagal menumpukan sepenuh perhatian. Seperti kata orang, hanya jasad di sana, mindanya melayang entah ke mana. Berbicara mengenai soal perhatian, minat merupakan salah satu elemen yang mempengaruhi penjanaan alat kognitif ini. Sebagai contoh, seorang peminat pasukan bola sepak Liverpool FC tidak tertarik untuk menonton perlawanan antara Manchester United menentang pasukan setempat, Manchester City. Namun apabila saluran ESPN menayangkan perlawanan antara Liverpool FC dengan Everton, hanya kerdipan mata yang sesekali menghalang tumpuannya pada kaca televisyen. Kedua, faktor keadaan sekeliling turut memainkan peranan penting dalam merangsang daya perhatian. Masih saya ingat perbualan saya dengan seorang rakan selepas bermain futsal malam kelmarin. Saya memuji pergerakan dan kemahiran kawalan bola seorang pemain di gelanggang sebelah. Namun menurut rakan saya itu, pemain terbabit tidaklah terlalu lincah dan pantas. Apa yang membuatkan beliau kelihatan menonjol dalam gelanggang adalah kualiti permainan pemain-pemain lain tidaklah begitu baik, lantas dia bergerak bebas tanpa sebarang kawalan atau cabaran. Mungkin benar komentar oleh rakan saya itu kerana keadaan sekeliling kadangkala membantu seseorang/sesuatu untuk menyerlah di mata para pemerhati seterusnya mendapat perhatian mereka.

 

Menyimpulkan penceritaan mengenai tiga alat kognitif ini, saya nyatakan sekali lagi bahawa ketiga-tiga material psikologi ini mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan proses membuat keputusan. Persepsi yang baik mengenai seorang rakan akan membuatkan anda lebih selesa untuk mendekatinya, sebaliknya anda mungkin memilih untuk menjauhi rakan terbabit seandainya persepsi anda terhadap dirinya adalah negatif. Manakala memori anda tentang suatu kesilapan lampau akan menghalang anda untuk mengelak kesalahan sama berulang. Berbeza keadaannya jika memori mengenai kesalahan itu tidak melekat dalam ingatan anda, anda mungkin cenderung untuk mengulanginya. Aspek perhatian pula memperlihatkan kita bahawa minat dan keadaan sekeliling merupakan faktor besar dalam mempengaruhi perhatian itu sendiri. Suatu langkah yang boleh kita ambil bagi mengelakkan pengaruh-pengaruh itu menjadikan kita terumbang-ambing dalam melaksanakan sesuatu tugasan ialah menetapkan minda dan berusaha untuk fokus kepada matlamat akhir yang ingin dicapai.


No comments:

Post a Comment